RANKING skuad Harimau Malaya terus menjunam di kedudukan ke-138 dunia susulan kekalahan mengecewakan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F saingan kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.
Menerusi kemaskini ranking secara langsung terkini di laman web FIFA semalam, kedudukan Harimau Malaya sekarang jatuh 17 anak tangga berbanding kedudukan ke-121 pada Januari lepas.
Faktor itu juga disebabkan oleh penolakan rayuan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ditolak secara rasmi oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Februari lalu.
Susulan keputusan CAS, Harimau Malaya secara rasmi hanya menang tiga perlawanan sejak dibimbing oleh Peter Cklamovski pada tahun lalu iaitu ketika menewaskan Nepal dan Laos sebanyak dua kali.
Selain itu, kemenangan yang diraih ke atas Nepal dan Vietnam pada tahun lalu telah dibatalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada kedua-dua negara terbabit.
Situasi itu berpunca apabila Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski menurunkan tujuh pemain warisan yang tidak layak selepas terpalit dengan isu pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Tiga perlawanan antarabangsa yang diharungi ketika bertemu Cape Verde, Singapura dan Palestin turut diisytiharkan kekalahan 0-3 buat skuad Harimau Malaya termasuk denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414) oleh FIFA.
Fokus Harimau Malaya dalam usaha menaikkan semula ranking selepas ini adalah untuk mengharungi Piala ASEAN anjuran AFF pada Julai depan dan Piala ASEAN FIFA pada September depan.














