fbpx
AMIRUL Ikhwan melihat keadaan bumbung dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Ulu Mahang, Kulim semalam.

‘Cuaca sebelum ini panas, tak sangka tiba-tiba rumah kena badai ribut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Suasana tenang petang semalam bertukar cemas apabila ribut kuat melanda Kampung Ulu Mahang, di sini sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 buah rumah mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Amirul Ikwan Abu Bakar, 32, berkata, ketika kejadian pukul 5 petang itu, dia berada di ruang tamu bersama isterinya, Norfatiha Azman, 31, serta seorang anak dan dua anak asuhan mereka.

Katanya, kawasan rumah dilanda hujan lebat sebelum dia ternampak kabus putih disusuli bunyi dentuman kuat dari arah dapur.

“Dalam masa beberapa saat, kira-kira 15 keping bumbung zink diterbangkan angin. Kami hanya mampu peluk anak-anak yang menangis ketakutan, memang tak sempat nak selamatkan barang.

“Ini kali pertama saya berdepan kejadian seperti ini sepanjang 40 tahun tinggal di sini, lemah lutut tengok apa yang berlaku. Tidak sangka hujan sebab dah lama cuaca panas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Suhaimi Abu Bakar, 43, berkata, dia yang baru pulang kerja terkejut mendengar bunyi dentuman sebelum bumbung rumahnya tercabut dan diterbangkan angin ke atas bukit berhampiran sejauh kira-kira lima meter.

“Bahagian ruang tamu rosak, mujur masih ada siling tetapi air bertakung. Kesemua barangan termasuk perabot dan karpet basah. Sekarang kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah adik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Mohammad Iskandar Shah Ibrahim berkata, kejadian angin kencang itu menjejaskan 18 buah kediaman di kampung tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN