KUANTAN – Seloroh seorang bilal masjid yang mahu menetap di Mekah ketika berangkat menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di Tanah Suci pada Rabu lalu.
Allahyarham Salleh Ramlee, 67, disahkan meninggal dunia di Makkah Medical Center kira-kira pukul 10 malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Anak sulungnya, Muhamad Adib Salleh, 37, berkata, bapanya sebelum ini sempat berseloroh dengan adiknya mengenai hasrat untuk tinggal di Mekah ketika dihantar ke lapangan terbang.
“Kami sekeluarga tidak menyangka gurauan itu menjadi petanda pemergian bapa buat selama-lamanya di Tanah Suci.
“Arwah ada bergurau dengan adik dan kata dia mahu pergi serta tinggal di Mekah. Kami tak sangka kata-kata itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di Taman Impian di sini semalam.
Katanya, ibunya, Nuriah Abd. Wahab, 60, yang turut menunaikan haji bersama arwah memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri pada Selasa lalu sebelum dikejarkan ke hospital.
“Mulanya kami sangka keadaan bapa tidak serius dan dia hanya dimasukkan ke wad biasa, namun apabila dimaklumkan bahawa bapa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), saya sudah mula berasa tidak sedap hati.
“Ibu hubungi kami mengatakan ayah sudah tiada dan ibu berpesan supaya kami adik beradik perlu reda,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Terdahulu, wakil Lembaga Tabung Haji (TH) negeri menziarahi keluarga arwah di Taman Impian, di sini dan menyerahkan baki wang khairat kematian berjumlah RM1,500 kepada waris.
Pihak TH juga akan menguruskan badal haji untuk arwah.














