fbpx
ORANG ramai kini berpeluang menaiki kereta api mini di atas sawah padi.

Kereta api mini tarikan terkini sawah padi Sekinchan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEINDAHAN panorama sawah padi yang terbentang luas sememangnya menjadi identiti Sekinchan, sekali gus menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di Selangor. 

Landskap desa yang mendamaikan itu diserikan dengan kewujudan sebuah pesawat Boeing 727 yang diletakkan di tengah sawah padi Parit 5 sehingga mencuri perhatian ramai di media sosial. 

Di sebalik idea luar biasa itu, pengusaha pelancongan, Dyven Wong Tak Seng mahu menjadikan kawasan berkenaan sebagai destinasi agropelancongan dengan konsep berbeza. 

Katanya, kawasan sawah padi itu kini dikenali sebagai Terminal Sekinchan  sekitar April lalu sempena meraikan Festival Sawah Padi Sekinchan 2026.

“Sejak pesawat tersebut ditempatkan sekitar tahun 2022, lokasi itu menarik perhatian ramai dan menjadi salah satu tempat bergambar.

“Reaksi positif itu secara tidak langsung telah membuka peluang untuk mengembangkan tarikan, antaranya kereta api di Terminal Sekinchan.

“Rel kereta api ini dibina sepanjang 1 kilometer yang memberikan pengalaman mengujakan kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan semula jadi,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini. 

Stesen kereta api mini yang diinspirasikan daripada gaya hidup Jepun diserikan dengan hiasan patung watak animasi popular dari Negara Matahari Terbit itu, manakala keseluruhan bangunan stesen dibina menggunakan kayu cengal. 

KERETA api mini di sawah padi Sekinchan, Selangor ini diinspirasikan daripada gaya hidup Jepun. – AFIQ RAZALI

Katanya, konsep tersebut diambil daripada minatnya sendiri tetapi dalam masa sama berupaya menarik perhatian khalayak sekali gus memberikan pengalaman menaiki kereta api lebih mengujakan. 

“Sebagai pengusaha pelancongan, saya perlu kreatif dalam menjadi idea bagi menarik perhatian pengunjung terutama setelah kejayaan Sky Mirror di Kuala Selangor, saya mengharapkan perkara sama turut berlaku di Terminal Sekinchan. 

“Bagi sesi pelancaran awal, bayaran RM20 dikenakan untuk pengalaman menaiki kereta api, manakala tiket masuk asas bila siap sepenuhnya berharga RM38 (termasuk tiket menaiki kereta api) bersama kupon penebusan biskut hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO). 

“Terdapat juga sebuah kafe menjual makanan ringan yang mengetengahkan elemen Bali untuk pengunjung bersantai sambil menenangkan fikiran menikmati suasana alam. 

“Pada masa sama, sebuah restoran bakal dibuka yang tampil dengan konsep Perancis ala Eropah dan fine dining untuk memberikan pengalaman lebih mengujakan,” katanya. 

Buat masa ini, Terminal Sekinchan beroperasi pada hujung minggu dari pukul 9 pagi hingga 8 malam, namun Dyven merancang untuk membuka operasi setiap hari pada masa akan datang.

Menurutnya, panorama waktu malam di kawasan itu sangat memukau dan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai lokasi percutian keluarga. 

Malah, beliau kini merancang beberapa pembangunan jangka panjang termasuk pembinaan petting zoo, tasik dan hotel atau villa bagi membolehkan pengunjung menikmati pengalaman menginap di tengah sawah padi.

PANORAMA indah di Terminal Sekinchan yang dilengkapi pelbagai tarikan dengan sebelum ini diserikan dengan pesawat Boeing 727.

“Apabila projek itu siap nanti, pengunjung yang menaiki kereta api akan melalui beberapa kawasan seperti petting zoo, tasik dan hotel yang tentu saja memberikan pengalaman percutian tidak dapat dilupakan. 

“Memang ini perancangan jangka panjang saya untuk jadikan tempat ini sebagai lokasi agropelancongan lengkap dan kita akan menambah kawasan tempat letak kereta dan beberapa fasiliti lain untuk keselesaan pengunjung,” ujarnya. 

Di samping itu, Dyven difahamkan kini berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai landasan kereta api terpanjang di atas sawah padi. 

“Demi menjaga kelestarian alam, kereta api ini digerakkan menggunakan tenaga elektrik dan kita juga sedang dalam usaha untuk mendapat pengiktirafan MOR. 

“Buat masa ini, saya fokus untuk membangunkan Terminal Sekinchan yang berkeluasan kira-kira 12 ekar ini agar dapat memberikan pengalaman bermakna buat pengunjung,” ujarnya. 

Hasil kreativiti dan keberanian mencuba sesuatu berbeza khususnya di kawasan sawah padi telah mengubahnya menjadi destinasi pelancongan unik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN