fbpx
HARIMAU Malaya masih memiliki sebab untuk memburu kemenangan ke atas Vietnam demi memperbaiki ranking biarpun peluang ke Piala Asia sudah tertutup. - FB MALAYSIA NT

Masih ada sebab perlu menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN impian layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 sudah pun terkubur, kemenangan ke atas Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini masih menjadi misi memburu kemenangan mandatori buat Harimau Malaya.

Tanggapan aksi pelengkap jadual langsung tidak wajar diungkap kerana kemenangan menjadi misi penting untuk skuad negara meraih mata sekali gus bakal mengubah kedudukan semasa Harimau Malaya dalam senarai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kemenangan ke atas Vietnam membuka peluang buat Harimau Malaya memperoleh lebih banyak pungutan mata memandangkan skuad Golden Star Warriors menghuni ranking lebih baik iaitu 103 dunia.

“Ini juga satu perlawanan penting buat kami kerana keputusan yang bakal diraih pasukan dalam perlawanan ini juga akan beri kesan kepada mata ranking skuad kebangsaan.

“Jadi, ini ini peluang terbaik untuk kita berikan keputusan positif terutamanya dengan memperoleh kemenangan untuk kita dapatkan mata ranking dan naik lagi ke kedudukan terbaik,” kata pemain pertahanan negara, Syahmi Safari.

Dalam kemaskini terbaharu ranking FIFA sebelum ini, Harimau Malaya jatuh 14 anak tangga ke kedudukan 135 dunia dengan mengumpul 1095.90 mata dan kemenangan membolehkan skuad negara berkemungkinan melonjak empat anak tangga ke kedudukan 131.

Badan induk bola sepak dunia itu dijangka akan mengemaskini kedudukan terbaharu, esok.

Penurun drastik itu berkait rapat dengan keputusan FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.

Malah, skuad negara juga diputuskan kalah dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam, semuanya ekoran isu pemalsuan dokumen pemain warisan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN