PETALING JAYA – Kelancaran aliran trafik di beberapa lebuh raya utama hari ini dianggap sebagai ‘tidak mencabar’ bagi perantau yang kembali ke ibu kota.
Sejak Rabu lalu, trafik dilaporkan sesak teruk berikutan orang ramai telah mula pulang ke ibu kota untuk kembali memulakan tugas masing-masing.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @iwanhezwan, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mendakwa bahawa perjalanannya dari Taiping menuju ke Seri Kembangan tidak mencabar kerana hanya mengambil masa kurang daripada empat jam berikutan jalan yang sangat tenang sepanjang melaluinya.
“Lebuh raya tak mencabar langsung hari ini. Pukul 7.50 pagi di Taiping, 11.40 pagi sudah sampai Seri Kembangan.
“Bertuah rasa pergi balik kampung jalan kosong tahun ini,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa hairan kerana setiap kali musim perayaan, lebuh raya pastinya akan mengalami kesesakan.
Turut berkongsi pengalaman, pengguna @Azzanaznan mendakwa perjalanannya dari Pantai Timur juga sangat lancar tanpa sebarang kesesakan lalu lintas yang serius.
“Saya gerak dari Bachok pukul 3.38 pagi, sampai Tol Gombak pukul 9.42 pagi. Sempat berhenti solat subuh dan isi minyak.
“Alhamdulillah, jalan tidak sesak. Jarang-jarang berlaku balik ke Kuala Lumpur masa musim raya ini jalan tidak sesak,” ulasnya.
“Hari ini jalan lancar sahaja bila balik ke Bentong, tak sesak,” kata pula pengguna @Iz.zah.y. – KOSMO! ONLINE














