fbpx
Adly (tengah) ketika merasmikan Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur di Kem Desa Pahlawan, Ketereh, hari ini.

Jelajah Wira LTAT 2026 sasar santuni lebih 10,000 anggota ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur di Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini dengan pendekatan lebih inklusif menerusi siaran langsung digital bagi memperluas capaian kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Majlis peluncuran siri jelajah itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dengan Kelantan menjadi lokasi pertama sebelum diteruskan ke Kem Sri Pantai, Kuala Terengganu pada 9 Julai dan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada 13 Julai ini.

Menerusi pendekatan baharu itu, Jelajah Wira LTAT 2026 bukan sahaja menyasarkan kehadiran fizikal lebih 3,600 anggota ATM di koridor Pantai Timur, malah berpotensi menjangkau lebih 10,000 anggota di seluruh negara melalui gabungan kehadiran fizikal dan capaian digital.

Program berkenaan boleh diikuti secara langsung melalui laman sesawang rasmi Jelajah Wira LTAT dan aplikasi MyWIRA, sekali gus membolehkan anggota yang bertugas di luar kawasan tetap mendapat manfaat daripada perkongsian berkaitan kewangan, kesejahteraan dan perancangan masa depan.

Adly berkata, Jelajah Wira LTAT bukan sekadar sebuah perhimpunan, sebaliknya platform menyeluruh yang menghimpunkan pelbagai pengisian penting untuk warga ATM dan keluarga mereka.

“Pengisian seperti ini amat penting kerana masa depan warga ATM tidak boleh dilihat daripada satu sudut sahaja. Selain menikmati pulangan dividen yang kompetitif, para pencarum juga perlu dibekalkan dengan ilmu, keyakinan dan persediaan mencukupi untuk menempuh fasa kehidupan seterusnya dengan lebih terancang.

“Kita semua sedar bahawa anggota tentera telah memberikan sebahagian besar kehidupan mereka untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka turut dibantu dalam merancang masa depan, bukan sahaja semasa berkhidmat, tetapi juga selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Menurut beliau, LTAT kini memainkan peranan semakin penting sebagai institusi amanah yang mengurus simpanan persaraan dan menjadi sandaran kepada masa depan warga ATM serta keluarga mereka.

Jelasnya, pendekatan LTAT turun padang bertemu pencarum secara bersemuka juga amat bermakna kerana ia merapatkan jurang antara institusi dan warga ATM, selain memberi mesej jelas bahawa suara serta kebajikan mereka sentiasa diberi keutamaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan LTAT, Haizad Rizal A Aziz berkata, Jelajah Wira kekal sebagai antara platform penting LTAT untuk mendekati pencarum secara langsung.

“Jelajah Wira bukan sekadar program tahunan. Ia adalah sebahagian daripada usaha LTAT untuk merapatkan jurang kefahaman antara institusi dan pencarum. Kami mahu setiap anggota tahu bahawa LTAT ini milik anda, diwujudkan untuk anda dan akan terus berkhidmat demi masa depan anda.

“Bagi kami, literasi kewangan bukan sekadar bercakap tentang nombor. Ia tentang memberi keyakinan kepada anggota untuk membuat keputusan kewangan yang lebih baik serta membantu warga ATM bersedia untuk masa depan dengan lebih tenang, jelas dan yakin,” katanya.

Sejak Program Taklimat Pencarum dan Celik Kewangan LTAT diperkenalkan pada Disember 2023, lebih 68,000 warga ATM di seluruh negara disantuni melalui sesi taklimat berterusan di kem-kem ATM.

Inisiatif itu bertujuan memastikan pencarum mempunyai kefahaman lebih jelas mengenai simpanan persaraan, pengurusan kewangan, perlindungan sosial dan perancangan masa depan yang lebih mampan.

Selain itu, Jelajah Wira LTAT 2026 turut memperkenalkan beberapa pengisian nilai tambah termasuk penyerahan simbolik Kad Debit AFFIN LTAT Affiliate Mastercard oleh Affin Bank serta penyerahan peranti pintar oleh Yayasan LTAT menerusi program e-Perkasa SPM 2026.

Program itu turut merangkumi slot literasi kewangan oleh Pharmaniaga Berhad, taklimat ‘Meh Buwa!’ AFFIN Perkasa, aktiviti sukan WIRA Challenge serta pameran reruai interaktif oleh LTAT, syarikat kumpulan dan rakan strategik.

Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur turut menjadi platform penghargaan kepada veteran ATM melalui Majlis Graduasi Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT Siri Kedua bagi Zon Utara, selain peluncuran Siri Ketiga yang memberi tumpuan kepada komuniti veteran sekitar Pantai Timur.

Bagi menyokong ekonomi veteran setempat, LTAT turut melaksanakan inisiatif pembelian produk makanan dan minuman daripada vendor milik veteran ATM di setiap kem terlibat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN