DERETAN gerai kreatif dan alunan muzik tradisional menyambut kehadiran Nuraishah Azman sebaik melangkah masuk ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur di ibu kota.
Bagi wanita muda itu, kunjungannya ke The Heritage Colours Festival 2026 yang dianjurkan pada 26 hingga 28 Jun lalu itu bukan sekadar untuk mengisi hujung minggu, sebaliknya memenuhi rasa ingin tahu terhadap sebuah bangunan bersejarah yang selama ini hanya dipandang sepintas lalu dari tingkap tren.
“Saya mendapat tahu tentang festival ini daripada seorang rakan. Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya singgah di stesen tersebut.
“Saya rasa program seperti ini memberi sebab kepada orang ramai untuk datang dan mengenali semula bangunan bersejarah seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
“Sebelum ini, saya hanya tahu ia sebuah stesen lama, tetapi selepas meluangkan masa di sini, saya dapat menghargai nilai sejarah dan seni bina yang dimilikinya,” katanya kepada CitaRasa.
Nuraishah, 29, melihat penganjuran festival sedemikian yang menggabungkan elemen makanan, seni, muzik dan produk tempatan adalah satu inisiatif menarik untuk menghidupkan bangunan warisan berusia lebih 100 tahun itu.
“Menerusi festival ini, saya berpeluang berkunjung ke beberapa reruai menarik juadah Malaysia seperti cendol gula apong dan paling saya teruja adalah gerai menjual produk kraf berupa kain yang berasaskan alam semula jadi,” ujarnya.

Mengenai Stesen Keretapi Kuala Lumpur, ia sememangnya warisan negara yang cukup ikonik. Siap dibina pada tahun 1910, bangunan tersebut bereka bentuk dengan elemen seni bina Islam, Mughal dan kolonial Eropah.
Ia bermula sebagai hab utama perkhidmatan kereta api di Semenanjung Malaysia sehinggalah pada tahun 2001 apabila fungsi utamanya berpindah ke KL Sentral. Kebanyakan perkhidmatan kereta api jarak jauh dipindahkan ke KL Sentral, manakala kini digunakan terutama untuk perkhidmatan KTM Komuter dan KTM ETS tertentu.
Mengenai The Heritage Colours Festival 2026 selama tiga hari itu, ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan reruai untuk dikunjungi pengunjung.
Antaranya terdapat reruai barangan seramik dengan motif seperti wau, reruai pelbagai juadah seperti kuih tradisional dan teh dari Cameron Highlands.

Kesemuanya mempunyai keunikan tersendiri dalam mempromosikan produk buatan Malaysia.
Hari pertama dimeriahkan dengan lawatan serta kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke sekitar kawasan festival.Beliau juga sempat mencuba aktiviti mencanting batik di lokasi festival.
Dalam lawatan itu, para hadirin turut dimaklumkan mengenai fasa pertama projek pemuliharaan stesen telah selesai pada tahun ini merangkumi kerja-kerja pemuliharaan fasad bangunan, pemasangan cahaya fasad dan naik taraf Dewan Penumpang. Pelaksanaan projek itu telah menghidupkan semula fungsi dan nilai warisan stesen sebagai sebuah destinasi bandar, selaras dengan inisiatif Warisan KL.
Warisan KL ialah inisiatif pemuliharaan warisan dan budaya yang memacu usaha memperbaharui semula bandar untuk menghidupkan kembali jiwa Kuala Lumpur melalui pemulihan serta penjenamaan semula warisan binaannya.

Hari kedua pula festival dimeriahkan dengan penganjuran pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan tradisional dan juga persembahan saxophone.
Hari ketiga dimeriahkan dengan aktiviti interaksi bersama pengunjung menerusi sesi bermain permainan tradisional dan mewarna seramik.
Bengkel dan persembahan gendang Cina dari Hands Percussion Academy juga antara tarikan buat pengunjung.
Kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Datuk Azhar Ahmad berkongsi, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk menghidupkan semula Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai ruang warisan yang relevan, inklusif dan dekat dengan masyarakat masa kini.
Menurut beliau, selaras dengan niat kepimpinan RAC, bangunan warisan tidak lagi dilihat sekadar sebagai aset sejarah untuk dipelihara, sebaliknya sebagai ruang hidup yang boleh diaktifkan melalui pengisian budaya, seni, komuniti dan gaya hidup.
“Melalui penganjuran festival ini, RAC berhasrat menjadikan warisan ini lebih mudah didekati, lebih bersifat interaktif serta mampu memberi pengalaman yang bermakna kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai lokasi festival adalah kerana ia merupakan antara aset warisan rel paling ikonik di negara ini dengan nilai sejarah dan seni bina yang telah menjangkau lebih 100 tahun.
“Keistimewaan stesen ini bukan sahaja terletak pada reka bentuk bangunannya yang unik, malah pada peranannya dalam sejarah pengangkutan serta pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.
“Bangunan ini menjadi antara pintu masuk utama yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan destinasi lain melalui jaringan rel, sekali gus menjadikannya simbol penting kepada perkembangan mobiliti, hubungan masyarakat dan identiti bandar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penekanan terhadap penglibatan perniagaan tempatan turut menjadi antara fokus utama penganjuran festival sebagai usaha mengaktifkan ruang warisan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Melalui The Heritage Colours Festival 2026, peniaga tempatan termasuk pengusaha makanan, minuman serta penggiat seni dan kraf tangan budaya diberi platform untuk memperkenalkan produk dan kepakaran mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Pada masa sama, kehadiran peniaga-peniaga tempatan ini turut memperkaya pengalaman pengunjung dengan persekitaran tempatan yang lebih autentik dan bermakna,” ujarnya.
Sebagai penganjur, RAC berharap festival selama tiga hari itu dapat menjadi platform berterusan dalam mengaktifkan Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai ruang warisan, budaya dan komuniti.
“Kami juga akan terus meneroka peluang kolaborasi bersama agensi kerajaan, komuniti setempat, penggiat seni, institusi pendidikan serta pemain industri bagi memastikan aset warisan rel dapat dimanfaatkan secara mampan, inklusif dan memberi nilai yang bermakna kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, bagi salah seorang peserta reruai iaitu pemilik dan Pengarah Urusan Bera Vision Valley, Noorzainin Mohamed Suki, penyertaan dalam festival itu membuka peluang untuk memperkenalkan seni cetakan eko atau eco-print kepada khalayak yang lebih luas, selain mempromosikan hasil kraf tempatan berasaskan alam semula jadi.
Baginya, festival yang menghimpunkan penggiat seni, usahawan dan pengunjung dari pelbagai latar belakang itu menjadi platform terbaik untuk mendekatkan masyarakat dengan keunikan seni kraf tempatan.














