TEMERLOH – Kegembiraan seorang lelaki bercuti di Langkawi berakhir dengan sejarah hitam apabila dia terpaksa menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) gara-gara membuang puntung rokok.
Dikenali sebagai Amir yang berusia 31 berkata, dia sememangnya terkejut apabila dikenakan saman kerana membuang puntung rokok di kawasan Pantai Chenang gara-gara tiada tong sampah di kawasan itu.
“Puas saya mencari tong sampah di situ namun tiada dan saya dapat tahu di sana memang tidak disediakan tong sampah bagi mengindahkan kawasan berkenaan.
“Selepas itu setiap kali berjalan di kawasan itu saya hanya membuang puntung rokok di dalam poket,”katanya ketika ditemui ketika menjalani PKM di Taman Tasik Temerloh di sini hari ini.
Amir yang berasal dari Kuantan dikenakan hukuman denda sebanyak RM500 dan perintah Khidmat Masyarakat selama empat jam.
Menurut Amir, hukuman yang dikenakan terutama PKM sebenarnya memberikan kesedaran kepadanya supaya tidak lagi membuang sampah merata-rata.
Katanya, dia reda dengan hukuman berkenaan dan berjanji tidak akan membuang sampah merata-rata.
Sementara itu Pengarah SWCorp Pahang, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, sebanyak 238 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang sejak penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Januari lalu.
Katanya, daripada jumlah itu 19 orang kena saman (OKS) sudah dikenakan tindakan mahkamah termasuk di Mahkamah Raub, Mahkamah Temerloh dan Mahkamah Kuantan.
“Pada hari ini seramai 12 OKS menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dengan tempoh antara satu hingga empat jam, bermula pukul 9 pagi.
“Bagi kes kali ini, semua OKS berusia 18 tahun ke atas, manakala yang paling tua setakat ini berumur 37 tahun,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE














