fbpx
PELBAGAI gangguan misteri berlaku di kedai bakeri milik Jun sepanjang setahun beroperasi di kawasan stesen kereta api lama di Selatan tanah air. – Ilustrasi Shah Hasan

Gangguan misteri punca pemilik tutup kedai bakeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kisah seram yang berlaku beberapa tahun lalu itu masih menghantui Jun (bukan nama sebenar).

Masakan tidak, disebabkan gangguan aneh itu, dia terpaksa menutup kedai bakeri miliknya dan berpindah semula ke ibu kota selepas hampir setahun menguruskan perniagaan di sebuah pekan kecil di Selatan tanah air.

Menurut Jun, semuanya bermula apabila dia membeli sebuah kedai lama dua tingkat yang terletak berhampiran stesen kereta api lama.

Ketika itu, dia melihat lokasi tersebut mempunyai potensi besar untuk menjalankan perniagaan bakeri kerana suasananya yang klasik dan tenang.

“Bangunan itu memang lama, tetapi saya suka sebab ada karakter tersendiri. Penduduk sekitar pun cakap kedai itu sudah lama kosong.

“Saya fikir mungkin sebab keadaan bangunan itu uzur saja, tak terlintas ada sebarang gangguan,” katanya.

Pada awalnya, proses ubah suai berjalan lancar. Namun selepas itu, beberapa pekerja mula mengadu terdengar bunyi kerusi diseret di tingkat atas, walaupun ruang tersebut kosong dan belum digunakan.

Jun mengakui, dia tidak terlalu memikirkan perkara itu sehinggalah satu malam. Ketika menyiapkan roti seorang diri kira-kira pukul 2 pagi, dia terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dari tingkat atas ke arah tangga.

“Saya ingat ada pencuri. Apabila periksa, memang tak ada sesiapa.

“Tapi bunyi itu jelas sangat, macam orang berlari sambil hentak kaki,” katanya.

Selepas kejadian itu, gangguan semakin kerap berlaku di kedai berkenaan. Mesin pengadun roti boleh hidup sendiri secara tiba-tiba, lampu berkelip tanpa sebab dan pintu belakang kedai sering terbuka pada waktu pagi, walaupun sudah dikunci di sebelah malam.

Lebih menyeramkan, beberapa pelanggan turut mengalami kejadian aneh. Ada yang mendakwa mereka terlihat kelibat wanita berdiri di tingkat atas bakeri, selain terdengar suara orang menangis ketika berada di tandas.

“Pernah seorang pelanggan tanya siapa perempuan berbaju putih yang tengok dari atas. Padahal memang tak ada sesiapa di situ,” ujarnya.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila seorang pekerjanya tiba-tiba pengsan selepas mendakwa terlihat ‘sesuatu’ duduk di atas meja dapur pada awal pagi.

Jun berkata, dia cuba mendapatkan bantuan beberapa individu termasuk pengamal perubatan Islam, namun gangguan tersebut tetap berulang.

Malah, dia sendiri mula mengalami gangguan emosi dan sering mimpi buruk setiap kali tidur dalam bilik kecil di belakang bakeri.

“Setiap malam rasa tak tenang. Masuk kedai saja, dada rasa sangat ‘berat’,” katanya.

Tidak sanggup berdepan tekanan berterusan, Jun akhirnya membuat keputusan menutup bakeri tersebut.

Dia menjual semula bangunan berkenaan sebelum berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu.

Sehingga hari ini, dia masih enggan kembali ke pekan itu kerana trauma dengan pengalaman yang dilaluinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN