fbpx
MOHD. SALLEH (dua dari kiri) bersama beberapa pemandu e-hailing ketika membangkitkan isu kenaikan harga insurans e-hailing di Banda Hilir, Melaka baru-baru ini. – AMRAN ALI

Insurans e-hailing semakin cekik darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kenaikan harga insurans e-hailing yang didakwa mencecah lebih RM1,000 setahun berbanding sekitar RM300 sebelum ini dianggap sangat membebankan kepada golongan pemandu di negeri ini.

Pengerusi Persatuan E-Hailing Negeri Melaka, Mohd. Salleh Mohd. berkata, apa yang me­nimbulkan persoalan apabila para pemandu mendakwa fungsi sebenar insu­rans tersebut sebenarnya masih tidak jelas.

Menurutnya, kebanyakan pemandu masih menggunakan tuntutan insurans kenderaan biasa sekiranya berlaku kemalangan walaupun sudah membayar insurans e-hailing.

“Kalau ikut pengalaman dan apa yang saya dengar daripada pemandu-pemandu, belum pernah lagi ada pengalaman dalam membuat tuntutan insurans e-hailing ini.

“Setakat ini kalau berlaku kemalangan, kami tetap guna insu­rans kereta biasa, jadi kami tertanya-tanya, insurans e-hai­ling ini sebenarnya untuk apa,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui di Banda Hilir di sini.

Tambah beliau, ketika awal diperkenalkan sekitar beberapa tahun lalu, kadar insurans e-hailing hanya sekitar RM200 hingga RM300 setahun sebelum mening­kat mendadak ketika ini.

“Sekarang paling murah sekitar RM750 setahun, malah ada yang mencecah RM1,300 terutama bagi kenderaan MPV.

“Yang menjadi persoalan, perlindungan hampir sama tetapi harga antara syarikat insurans berbeza-beza,” katanya.

Sementara itu, Rushdi Md. Saad, 53, berkata, pemandu e-hailing seolah-olah dibebankan dengan dua jenis perlindungan berasingan.

“Kami bayar insurans kereta biasa, kemudian kena tambah lagi insurans e-hailing, malah, dalam aplikasi pula penumpang juga ada pilihan bayar perlindu­ngan tambahan.

“Jadi kenapa pemandu masih perlu tanggung kos yang tinggi?” soalnya.

Seorang lagi pemandu, Ooi Bon Chai, 40, berkata, kebanyakan pemandu hanya memilih syarikat insurans yang menawarkan harga paling murah kerana kos semakin membebankan.

Mereka turut mendakwa sudah membawa isu tersebut kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay yang juga Penaung E-Hailing Negeri Melaka, namun masih belum ada penyelesaian jelas berkaitan isu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN