fbpx
JUWAIRIYAH JAMILAH teruja melakukan aktiviti zipline buat pertama kali.

Zipline sepanjang 420 meter jadi terapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI lasak semakin mendapat perhatian masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda yang gemar mencabar kemampuan diri dan mencari pengalaman baharu sekali gus memberi kepuasan adrenalin.

Bagi Juwairiyah Jamilah Ahmad Tarmizi, pengalaman melakukan aktiviti zipline pada April lalu menjadi antara momen paling bermakna dan sukar dilupakan dalam hidupnya.

Katanya, pertama kali mencuba zipline memberikan perasaan bercampur-baur antara takut dan teruja lebih-lebih lagi difahamkan zipline di Putrajaya Adventure Park yang disertainya merupakan terpanjang di Malaysia dengan jarak sepanjang 420 meter.

“Saya memang rasa sangat berdebar pada awalnya. Bila tengok ketinggian dan panjang laluan zipline itu memang rasa takut.

“Tetapi sebaik sahaja mula meluncur, rasa takut terus hilang dan bertukar menjadi sangat seronok. Saya rasa bebas dan teruja sepanjang meluncur sambil menikmati pemandangan dari atas yang sangat cantik,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Wanita berusia 28 tahun itu bersama keluarga menempuh perjalanan sekitar 20 minit dari kediamannya di Dengkil, Selangor untuk merasai sendiri pengalaman melakukan zipline di Putrajaya. 

ZIPLINE di Putrajaya Adventure Park merupakan yang terpanjang di Malaysia dengan jarak sepanjang 420 meter.

“Disebabkan lokasi Putrajaya Adventure Park berdekatan dengan rumah, jadi saya fikir sangat menarik untuk melakukan aktiviti bersama keluarga. 

“Hanya dengan bayaran RM50, saya boleh melakukan empat aktiviti lasak seperti memanjat dinding, abseiling wall, leap of faith dan zipline,” katanya yang turut mendapat sijil penyertaan.

Ujar Juwairiyah Jamilah, dia seorang penggemar aktiviti lasak dan sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti mencabar yang menguji ketahanan fizikal serta mental.

Antara aktiviti yang pernah disertainya termasuk mendaki (denai kembara), perkhemahan dan trail running.

Baginya, aktiviti lasak bukan sahaja mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa tetapi mahu meningkatkan keyakinan diri.

JUWAIRIYAH JAMILAH menunjukkan sijil penyertaan setelah berjaya menyelesaikan empat aktiviti lasak di Putrajaya Adventure Park.

“Saya memang suka aktiviti yang mencabar sebab mengajar kita untuk lebih berani dan yakin dengan kemampuan sendiri termasuk membantu menjadi seorang yang lebih kuat dari segi mental dan fizikal.

“Apabila berjaya mengatasi rasa takut dan menyelesaikan cabaran, saya rasa sangat puas, lega dan berasa seperti satu terapi untuk diri sendiri.

“Ini juga salah satu cara terbaik untuk mengurangkan tekanan dan stres selepas penat bekerja serta menjalani rutin harian,” ceritanya.

Bagi yang ingin mencuba zipline, Juwairiyah Jamilah menasihatkan agar memahami terlebih dahulu tentang aspek keselamatan sebelum melakukan aktiviti itu. 

Penggunaan peralatan yang betul seperti tali pinggang keselamatan (harness) dan pematuhan terhadap arahan jurulatih amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.

“Peserta juga perlu memastikan keadaan fizikal mereka sesuai dan memakai pakaian yang selesa supaya pergerakan lebih mudah.

“Paling penting jangan abaikan taklimat keselamatan yang diberikan kerana semua itu penting untuk memastikan aktiviti berjalan lancar dan selamat,” katanya.

Tambahnya, pengalaman melakukan zipline buat pertama kali itu menjadi momen menyeronokkan dan membuatkan dia berhasrat untuk mengulangi aktiviti berkenaan pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN