fbpx
Poster pengumuman hala tuju politik oleh Rafizi esok.

Rafizi bakal umum parti baharu esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Esok mungkin menjadi antara hari paling getir dalam landskap politik PKR selepas pemilihan parti yang menyaksikan Datuk Seri Rafizi Ramli tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

Pengumuman “hala tuju politik” oleh Ahli Parlimen Pandan itu bersama Nik Nazmi Nik Ahmad di Petaling Jaya pastinya bukan sekadar sesi santai minum petang politik.

Dalam politik Malaysia, apabila seorang tokoh besar yang pernah menjadi arkitek kemenangan parti mengadakan sidang khas selepas meletakkan jawatan Kabinet, mesejnya biasanya lebih besar daripada apa yang disebut secara rasmi.

Persoalannya, adakah Rafizi bakal mengumumkan penubuhan parti baharu?

Secara logiknya, kemungkinan itu tetap ada walaupun mungkin belum diumumkan secara terus terang. Rafizi bukan figura politik biasa. Beliau mempunyai kelompok penyokong tersendiri khususnya dalam kalangan ahli muda PKR, pengundi bandar dan kelompok reformis yang melihat beliau sebagai simbol politik idealisme serta keberanian melawan budaya politik lama.

Kekalahan beliau dalam pemilihan PKR bukan sahaja dilihat sebagai penolakan politik dalaman, tetapi juga membuka naratif bahawa kelompok ‘reformis asal’ dalam PKR semakin terpinggir. Sebab itu tindakan beliau melepaskan jawatan Menteri Ekonomi sebelum ini dianggap ramai sebagai petanda keretakan yang lebih besar.

Menariknya, majlis Rafizi diadakan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan himpunan besar Pakatan Harapan di Johor. Kebarangkalian politik seperti ini jarang berlaku secara kebetulan.

Dalam politik, masa ialah mesej. Ia boleh dibaca sebagai tanda protes halus, menunjukkan Rafizi masih mempunyai pengaruh dan enggan tenggelam selepas kalah.

Jika Rafizi berjaya membawa naratif yang baik, beliau mungkin mampu mencipta gelombang baharu khususnya dalam kalangan pengundi bandar yang semakin kecewa dengan politik Kerajaan Perpaduan.

Apa pun, perkembangan ini memberi gambaran bahawa PKR sedang memasuki fasa paling mencabar sejak menjadi parti pemerintah. Dahulu PKR terkenal sebagai parti yang meraikan perbezaan pandangan. Kini, parti itu dilihat sedang bergelut mengurus ego, pengaruh dan masa depan generasi pelapis.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN