AMPANG – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Catalunya esok di petak ke-10 selepas mencatat 1 minit 47.058 saat (s).
Keputusan itu menyaksikan Danish gagal untuk mengulangi pencapaian sesi latihan bebas semalam di mana dia menamatkan kedua-dua sesi tersebut menerusi catatan masa terpaksan sehingga layak secara automatik ke kelayakan kedua (Q2).
Petak pertama menjadi milik pelumba Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone menerusi catatan masa 1:46.679s diikuti David Munoz (Liqui Moly Dynavolt Intact) dengan 1:46.679s manakala Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di petak ketiga selepas mencatat 1:46.698s.
Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga pelumba kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu bakal memulakan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas selepas GP Brazil (ketiga) dan Sepanyol (ke-10).
Setakat ini, Danish sudah mengumpul 18 mata keseluruhan selepas lima perlumbaan bagi membolehkan dia berada di tangga ke-15 dalam carta kejuaraan Moto3 dunia. – KOSMO! ONLINE














