PETALING JAYA – Pengorbanan seorang anak yag sanggup membawa kedua ibu bapanya merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 357 kilometer semata-mata untuk menikmati nasi kandar di George Town, Pulau Pinang.
Kisah tersebut dikongsikan oleh sebuah premis terkenal, Nasi Kandar Sulaiman (NKS) menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menurut perkongsian itu, keluarga berkenaan datang dari Kuala Lumpur dan kunjungan tersebut bukanlah yang pertama, sebaliknya mereka pernah hadir pada tahun lalu untuk menikmati hidangan sama.
“Mak dan bapa merupakan OKU penglihatan iaitu buta. Anak mereka yang bawa datang ke sini. Tahun lepas mereka datang dan ketika itu kami belanja menggunakan duit sumbangan para penderma.
“Tahun ini, selepas hampir setahun, mereka datang lagi. Kali ini pun kami belanja mereka dan mereka tidak tahu sehingga waktu hendak membuat bayaran,” menurut perkongsian itu.
Tambahnya, reaksi pasangan warga emas tersebut jelas menggambarkan kegembiraan apabila dimaklumkan makanan mereka ditaja.
Apa yang lebih menyentuh hati, menurut pemilik premis itu, adalah sikap anak mereka yang menjaga kedua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang tanpa sedikit pun menunjukkan rasa malu atau terbeban.
“Walaupun keadaan sangat sibuk dengan pelanggan lain, anak ini tetap melayan ibu bapanya dengan senyuman. Tidak langsung menunjukkan rasa marah atau mengeluh.
“Hakikatnya, menjaga ibu bapa dalam keadaan sebegini bukan mudah, ia satu cabaran besar. Namun dia lakukan dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Perkongsian itu turut mengingatkan orang ramai agar menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada, tanpa mengira keadaan fizikal atau kesihatan.
“Zaman sekarang ada yang malu untuk keluar bersama ibu bapa yang tua atau sakit, tetapi lihatlah contoh ini. Dia bangga dan menghargai ibu bapanya,” ujarnya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang rata-rata memuji sikap anak berkenaan serta menyifatkannya sebagai contoh terbaik dalam masyarakat.
“Saya doakan adik sentiasa diberkati dan berjaya dunia akhirat,” kata Vijravutt.
“Anak yang baik. Adik terbaik jaga syurga adik. Alhamdulillah,” komen Jeff MU.
“Anak yang berbakti kepada orang tua. Anak yang baik tak kan pernah ada perasaan malu terhadap ibu bapnya, walaupun ibu bapanya serba kekurangan,” kata Lyna Ramli. – KOSMO! ONLINE














