PETALING JAYA – Cadangan pelaksanaan waktu kerja lebih anjal termasuk pendekatan bekerja dari rumah (WFH) dalam sektor swasta disambut baik, namun perlu dilaksanakan secara adil serta tidak menjejaskan hak pekerja.
Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, konsep kerja anjal mampu memberi manfaat kepada pekerja dan majikan sekiranya disokong dengan garis panduan yang jelas serta rundingan bersama.
Menurut beliau, bagi pekerja, pelaksanaan WFH dapat mengurangkan kos sara hidup harian seperti petrol, tol dan parkir selain membantu meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
“Bagi majikan pula, pendekatan ini berpotensi mengurangkan kos operasi termasuk penggunaan utiliti serta keperluan ruang pejabat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan WFH tidak boleh dilakukan secara sembarangan tanpa garis panduan komprehensif bagi mengelakkan ketidakadilan terhadap pekerja.
Katanya, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian termasuk skop pekerjaan sesuai, penetapan waktu kerja secara jelas serta perlindungan hak pekerja untuk tidak diganggu di luar waktu kerja atau ‘right to disconnect’.
“Aspek yang boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja perlu diberi perhatian serius termasuk risiko beban kerja berlebihan, tekanan untuk sentiasa responsif di luar waktu kerja, kekaburan sempadan antara kehidupan kerja dan peribadi serta pengasingan sosial yang boleh membawa kepada stres dan keletihan emosi.
“Dalam konteks ini, majikan perlu memastikan pengurusan kerja yang munasabah dan beretika, selaras dengan prinsip kesejahteraan pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Effendy berkata, pekerja juga perlu dibekalkan dengan peralatan kerja yang mencukupi bagi melaksanakan WFH secara berkesan.
“Majikan tidak seharusnya memberi tekanan kepada pekerja untuk menyediakan sendiri peralatan tersebut kerana ia akan menambah beban kewangan serta bercanggah dengan prinsip keadilan industri.” jelasnya.
Menurutnya, sebarang perubahan kepada kaedah kerja juga perlu melalui proses rundingan bersama selaras dengan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan tidak boleh dilaksanakan secara unilateral.
Beliau turut menekankan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diberi perhatian serius termasuk dari segi ergonomik, keselamatan tempat kerja di rumah serta pengurusan tekanan.
“Pelaksanaan WFH tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan risiko dan kos operasi kepada pekerja atau melemahkan perlindungan sedia ada serta pengurangan pendapatan.
“Sebaliknya, ia mesti dilaksanakan secara adil, telus dan melalui rundingan bersama bagi memastikan kepentingan pekerja terus terpelihara,” tegasnya.
Tambahnya, UNI-MLC mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan garis panduan nasional berkaitan WFH selain menggalakkan klausa khusus dimasukkan dalam Perjanjian Kolektif bagi melindungi hak pekerja.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama (WFH) seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.
“Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah.
“Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan saya percaya insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














