BARU-baru ini AirAsia mengumumkan laluan Kota Bharu ke Jakarta, Indonesia. Pengenalan laluan baharu dengan empat penerbangan mingguan bermula 16 Jun ini dilihat mampu merancakkan sektor pelancongan di Pantai Timur.
Inisiatif itu menyokong matlamat Kelantan untuk menarik seramai 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa tahun ini.
Penerbangan secara terus itu juga selari dengan sasaran 4.6 juta pelawat dari negara tersebut menerusi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Kota Bharu dan Jakarta secara semula jadinya dikenali melalui warisan budaya Melayu merangkumi Islam selain lokasi geografi yang strategik.
Pengenalan laluan itu menjadikan AirAsia syarikat pertama mengendalikan laluan antarabangsa ke Indonesia tahun ini. Mengikut rekod, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebelum ini menerima penerbangan antarabangsa ke Singapura menerusi syarikat Scoot.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Muhammad berkata, inisiatif terbaharu itu merupakan langkah paling strategik memperkenalkan Kelantan kepada pelancong Indonesia.
Katanya, pemain industri pelancongan Kelantan bersedia menerima pelancong lebih-lebih lagi terminal utama LTSIP sudah mula beroperasi penuh pada Ramadan baru-baru ini.
“Mengikut rekod, kurang lima peratus daripada tujuh juta pelancong yang melawat Kelantan datang dari Indonesia tahun lalu.
“Apabila inisisiatif ini diperkenalkan, sudah tentu pemain industri pelancongan Kelantan mengharapkan jumlahnya meningkat berlipat kali ganda,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, pengenalan laluan baharu itu bukan daripada pemain industri, sebaliknya kesediaan kerajaan negeri untuk menerima pelancong dari Jakarta.
“Kerajaan negeri mungkin boleh menaik taraf kemudahan sedia ada atau membangunkan ikon baharu untuk memperkenalkan Kelantan sebagai destinasi pelancongan islamik dan syurga makanan.
“Aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan selain nilai-nilai murni. Sejujurnya, pemain industri pelancongan terutama hotel dan restoran mengalu-alukan kemasukan semua pelancong.
“Sebelum ini, Kelantan terima pelancong Indonesia, tetapi hanya sekadar menjadi persinggahan bagi mereka untuk ke Pulau Perhentian, Terengganu atau Selatan Thailand,” ujarnya.
Wan Saipul Azwal berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri Kelantan perlu membangunkan tarikan baharu dalam aspek pelancongan islamik untuk menarik rakyat Indonesia yang mempunyai umat islam paling ramai di dunia.
Tambahnya, beliau yang mewakili pemain industri pelancongan di Kelantan tidak mahu pengenalan laluan menghubungkan Kota Bharu dan Jakarta menjadi projek ‘gajah putih’, tidak produktif sekali gus gagal sehingga ia terhenti selepas tidak lama dilaksanakan.
“Sebelum ini, penerbangan Kota Bharu ke Singapura pernah terhenti buat seketika kerana tidak mendapat sambutan sebelum ia kembali diteruskan.
“Saya tidak mahu penerbangan Kota Bharu ke Jakarta ini tidak bertahan lama. Setiap projek perlu ada pelan terperinci daripada semua pihak terutamanya kerajaan negeri agar ia dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.














