MANILA – Presiden Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan darurat tenaga negara berikutan ancaman perang Asia Barat terhadap bekalan minyak dan keselamatan Filipina, lapor laman berita UPI semalam.
Marcos menandatangani perintah eksekutif mengenainya kelmarin, memberikan beliau kuasa darurat di bawah Akta Jabatan Tenaga bagi melaksanakan pelan peruntukan bahan api dan tenaga serta langkah penjimatan lain.
Dekri presiden mengarahkan Jabatan Tenaga mengambil langkah bagi melindungi bekalan tenaga domestik, termasuk bertindak terhadap aktiviti menyorok bekalan, mengambil untung berlebihan dan manipulasi bekalan.
Kerajaan juga diberi kuasa untuk membeli bahan api dengan lebih cepat dan fleksibel dengan membenarkan bayaran pendahuluan melebihi 15 peratus daripada jumlah kontrak.
Manila sangat bergantung kepada import minyak, yang mana 98 peratus berasal dari Asia Barat, demikian menurut agensi penerangan negara, manakala perang Iran menentang Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan harga bahan api di Filipina melonjak.
Terdahulu, Setiausaha Jabatan Tenaga Sharon Garin berkata, Filipina mempunyai bekalan petrol mencukupi untuk bertahan selama kira-kira 53 hari, diesel untuk hampir 46 hari, bahan api jet selama 38 hari, dan gas petroleum cecair untuk durami 23 setengah hari. – AGENSI














