MALAYSIA kini berada di landasan baharu dalam ekonomi digital apabila berjaya menarik pelaburan asing bernilai berbilion ringgit daripada syarikat teknologi global.
Menjelang akhir tahun 2025, kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) negara dilaporkan melepasi paras RM1 trilion buat pertama kali dengan jumlah mencecah RM1.069 trilion.
Pencapaian ini mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin kukuh terhadap kestabilan ekonomi, dasar mesra pelabur serta potensi pertumbuhan digital Malaysia.
Antara pelaburan terbesar yang diumumkan ialah komitmen Microsoft sebanyak RM10.4 bilion bagi memperkukuh infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Google pula mengumumkan pelaburan AS$2 bilion (RM7.9 bilion) untuk pembangunan pusat data pertama syarikat itu di negara ini serta peluasan perkhidmatan Google Cloud.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IEC Telecom, Antoine Veillon, Malaysia merupakan antara pasaran pertumbuhan digital paling dinamik di rantau ini.
“Gabungan pelaburan kukuh, dasar progresif serta permintaan tinggi terhadap sambungan internet yang boleh dipercayai menjadikan Malaysia sesuai untuk pembangunan infrastruktur digital jangka panjang.
“Pelaburan sedemikian bukan bersifat sementara atau spekulatif, sebaliknya melibatkan komitmen jangka panjang yang memerlukan penilaian risiko secara teliti,” katanya menerusi satu perkongsian e-mel kepada K-Tekno.
Tambahnya, kehadiran syarikat gergasi teknologi ini menunjukkan Malaysia kini tidak lagi dilihat sekadar pasaran membangun tetapi telah menjadi destinasi strategik bagi pelaburan digital bertaraf global. Negara ini turut mendapat manfaat daripada kedudukan geografi yang strategik di Asia Tenggara, tenaga kerja berkemahiran serta kestabilan dasar kerajaan yang menyokong pembangunan teknologi.
Namun begitu, pelaburan besar hanyalah permulaan kepada cabaran sebenar. Persoalan utama kini ialah sama ada infrastruktur sambungan sedia ada mampu menyokong pertumbuhan pesat sektor digital negara.
Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi digital sebanyak 19 peratus tahun ke tahun, sekali gus memberi tekanan kepada sistem rangkaian sedia ada.
Ketika ini, liputan internet negara hampir mencecah 99 peratus, manakala rangkaian 5G telah mencapai 82 peratus kawasan berpenduduk.
Namun, akses semata-mata tidak cukup. Dalam era ekonomi digital, prestasi rangkaian yang konsisten, kelajuan tinggi dan kebolehpercayaan menjadi faktor penentu kejayaan operasi perniagaan.
Gangguan sambungan internet boleh memberi kesan besar kepada produktiviti syarikat, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Golongan ini menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Kini, semakin banyak PKS bergantung kepada sistem perakaunan awan, e-dagang, logistik digital dan pembayaran tanpa tunai. Tanpa sambungan stabil, keupayaan mereka untuk berkembang ke peringkat nasional atau antarabangsa boleh terjejas.
Sehubungan itu, model rangkaian hibrid semakin diberi perhatian. Pendekatan ini menggabungkan rangkaian gentian optik, mudah alih dan sambungan satelit bagi memastikan operasi lebih tahan gangguan.
Teknologi satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) seperti Starlink kini menjadi pilihan kerana menawarkan kelajuan lebih tinggi dengan kos lebih berpatutan berbanding sistem satelit tradisional.
Malaysia telah meluluskan operasi Starlink pada Julai 2023 melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Langkah ini membuka ruang kepada penggunaan internet satelit secara lebih meluas, khususnya di kawasan pedalaman atau lokasi yang menghadapi kekangan infrastruktur darat.
Pengarah Urusan IEC Telecom Malaysia, Hisham Ghaffar berkata, sambungan LEO kini menjadi komponen penting dalam landskap telekomunikasi negara.
“Kesinambungan operasi akan menentukan kejayaan transformasi digital Malaysia dan fokus utama bukan menggantikan sistem sedia ada tetapi melengkapkannya.
“Dalam sektor awam, rangkaian hibrid membantu merapatkan jurang digital. Dalam sektor logistik, ia memperkemas rantaian bekalan. Bagi PKS pula, ia memberi kebebasan untuk beroperasi tanpa batasan lokasi,” ujarnya.
Kongsinya lagi, ketika Malaysia semakin menarik perhatian pelabur global, sambungan digital yang mantap bukan lagi pilihan tambahan. Ia kini menjadi asas utama yang akan menentukan sama ada pelaburan berbilion ringgit ini mampu diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi sebenar dan kemajuan digital negara.
















