fbpx
CITY berpeluang menjulang gelaran kedua jika memenangi Piala FA selepas berjaya mendapat trofi Piala Liga Inggeris sebelum ini. - FB MANCHESTER CITY

Piala FA: Man. City mahu trofi kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mula mengalihkan sepenuh fokus ke arah perlawanan akhir Piala FA menentang Chelsea yang dijadualkan berlangsung di Stadium Wembley malam ini.

Meskipun masih berada dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun pengendali dari Sepanyol itu tetap menjadikan saingan Piala FA sebagai keutamaan dan sedia menurunkan kesebelasan terbaik.

Guardiola berkata, faktor kepenatan mungkin melanda skuad The Citizens memandangkan mereka baru sahaja bermain dalam saingan liga menentang Crystal Palace kelmarin di mana City mencatat kemenangan 3-0.

Bagaimanapun, beliau tidak risau selain menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan pemainnya untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan City meraih gelaran kedua mereka musim ini.

“Keputusan saya merehatkan beberapa pemain sebelum berdepan Palace membuahkan hasil apabila kami berjaya mencatat kemenangan, tetapi perlu diingatkan, kami akan beraksi di final (Piala FA) Sabtu ini.

“Kami perlu berangkat ke London sedangkan Chelsea berada di tempat sendiri, sudah tentu mereka memiliki kelebihan. Memang benar akan ada faktor kepenatan, tetapi saya yakin dengan pemain-pemain pasukan ini,” katanya.

Atas kertas, City dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Chelsea kerana tidak pernah tewas kepada pasukan itu dalam 10 perlawanan terakhir, termasuk mencatat lapan kemenangan.

Sementara itu, Guardiola juga masih belum berputus asa dengan perebutan takhta Liga Perdana musim ini meskipun saingan hanya berbaki dua perlawanan selain Arsenal memiliki kelebihan dua mata sebagai pendahulu.

“Kami masih menggalas harapan itu walaupun selepas ini kami akan berdepan Bournemouth dan Aston Villa. Semua orang tahu apa dua pasukan ini mampu lakukan, kami hanya akan cuba yang terbaik,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN