fbpx
Zaini menunjukkan ubi keledak segar yang baru dituai di ladang miliknya di Kampung Changkat Tualang, Kampar baru-baru ini.

Dari industri kuari, kini Zaini jadi penanam ubi keledek, jagung, kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAMPAR – Tindakan nekad untuk bertukar bidang kerja daripada industri keselamatan berkaitan muka bumi di sebuah syarikat kuari kepada pertanian membuahkan hasil buat Mohd. Zaini Abdul Ghani,48, di Kampung Changkat Tualang.

Usahawan yang mengusahakan tanaman ubi keledek manis, ja­gung dan kelapa pandan di kawasan seluas 48.56 hektar di kampung itu kini berjaya memberi peluang pekerjaan kepada komuniti sekitar sekali gus menggalakkan perkembangan ekonomi dalam bidang pertanian.

Dia yang sebelum ini selesa memperoleh gaji bulanan lima ­angka, kini lebih seronok dan teruja berbakti pada tanah mempunyai prospek cerah selain membolehkannya membantu daripada segi keterjaminan makanan rakyat.

“Saya bekerja lebih 10 tahun di sebuah syarikat kuari. Salah satu tugas ialah membina jalan raya serta memastikan aspek dan kualiti tanah menjadi keutamaan utama, ibarat pakar tanah.

“Ketika itu saya menyedari negeri ini sememangnya bertuah memiliki sumber tanah yang subur dan sesuai untuk pertanian.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja dan berkecimpung sepenuhnya dalam bidang pertanian bermula pada 2023,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zaini menerangkan, ubi keledek mempunyai potensi pasaran yang tinggi kerana mendapat permin­taan yang tinggi bagi kilang pemprosesan makanan terutamanya melibatkan kuih dan produk sejuk beku serta di pasar raya.

“Jagung memang ramai penggemarnya termasuk untuk haiwan ternakan. Buah kelapa pandan ­biasanya saya berikan secara percuma kepada pelanggan dan te­tamu yang hadir di ladang ini.

“Mempunyai kekuatan 20 pekerja yang berbilang kaum turut memudahkan lagi aspek penuaian dan pemasaran,” katanya.

Zaini menjelaskan, tanaman ubi yang diusahakan mengikut musim dengan konsep selang tanaman bersama jagung memastikan penggunaan tanah secara optimum selain mematuhi amalan pertanian baik (APB) atau Good Agricultural Practices (GAP) bagi memastikan pengurusan ladang yang mesra alam sekitar.

“Kini, saya mampu menjana pendapatan kasar mencecah enam angka setiap kali musim selain mengusahakan kolam ternakan ini sebagai pendapatan sampingan.

“Aspek pengurusan pekerja juga perlu diberikan perhatian selain sumber air dan elektrik konsisten supaya tanaman dapat hidup subur dan berkualiti untuk jualan,” katanya yang memiliki sijil lanjutan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada Open Universiti Malaysia (OUM).

Mohd. Zaini berkata, ban­tuan berterusan Jabatan Pertanian Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) banyak membantu memperkembangkan perniagaannya berbentuk bantuan baja, racun mesra alam, sewaan (pajakan tanah) dan konsultansi.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) turut membekalkan ubi keledek jenis vitato yang lebih manis dan enak,” katanya.

Selain itu, Mohd. Zaini mene­rima secara sekali beri geran bernilai RM98,000 dan RM6,000 berbentuk benih dan peralatan tanaman daripada Jabatan Pertanian Perak.

Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Kampar dengan tumpuan utama ialah pertanian dan perindustrian.

Ia juga menepati flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Keluarga 1 Usahawan hasil cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN