PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Guru, Taylor’s College kembali menganjurkan RISE Educator Award bagi edisi keenam dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM100,000.
Membawa tema Meraikan Guru di Sebalik Masa Depan Bersama, penganjuran kali ini memfokuskan peranan guru dalam memperkasa pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk menghargai pendidik yang melangkaui tugas hakiki di bilik darjah dan memberi impak besar kepada pelajar serta komuniti.
“Hari ini, kemajuan pendidikan banyak digerakkan oleh guru di lapangan yang sentiasa mencari pendekatan baharu bagi memastikan pembelajaran kekal inklusif dan relevan.
“Sambutan Hari Guru di Malaysia mengingatkan kita tentang peranan besar pendidik bukan sahaja di bilik darjah, malah dalam membentuk masa depan masyarakat.
“Melalui RISE Educator Award, kami berhasrat untuk mengiktiraf dan memperkasa usaha ini, di samping menyokong agenda memperkukuh kualiti serta ekuiti pendidikan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pencalonan dibuka bermula 15 Mei hingga 30 Jun 2026 bagi pencalonan guru sekolah kebangsaan, swasta dan antarabangsa meliputi peringkat prasekolah, rendah serta menengah.
Malah, edisi kali ini turut memperluaskan penyertaan kepada pusat pendidikan alternatif yang menyokong kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan.
Orang ramai boleh mengemukakan pencalonan dalam bentuk penulisan 100 hingga 500 patah perkataan dengan memperincikan sumbangan bermakna seorang guru berdasarkan empat elemen utama iaitu cabaran dihadapi, tindakan diambil, hasil dicapai dan impak jangka panjang terhadap pelajar atau komuniti.
Daripada keseluruhan pencalonan diterima, lima guru akan disenarai pendek sebelum melalui penilaian panel juri dan undian awam.
Pemenang akhir pula akan ditentukan berdasarkan gabungan 75 peratus markah juri dan 25 peratus undian awam.
Sementara itu, Taylor’s College turut berkongsi antara kisah kejayaan penerima terdahulu iaitu guru pendidikan khas, Stefanus Lucas dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu yang menerima tajaan RM50,000.
Katanya, dana tersebut digunakan untuk membangunkan Bilik Muzik Inklusif pertama di Sabah bagi pelajar kurang upaya pendengaran dengan mengaplikasikan ritma, getaran dan isyarat visual dalam pembelajaran muzik.
Sejak 2021, Taylor’s College telah menyalurkan lebih RM36,000 kepada 18 guru dan RM200,000 kepada 16 sekolah di seluruh negara bagi menyokong pelbagai inisiatif pendidikan yang diterajui guru.














