PETALING JAYA – “Cikgu boleh tolong hantar anak saya ke pusat transit?”
Itu antara permintaan seorang ibu dalam kumpulan WhatsApp sekolah yang mengundang pelbagai reaksi netizen selepas tangkap layar perbualan tersebut tular di media sosial.
Menerusi perkongsian itu, ibu berkenaan dikatakan meminta guru kelas membantu menghantar anaknya ke pusat transit selepas waktu persekolahan kerana tidak sempat menjemput pelajar itu sendiri.
Bagaimanapun, permintaan tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan guru dan ibu bapa lain kerana tugas bukan tanggungjawab pengajar.
Seorang pengguna Facebook berkata, masyarakat perlu memahami tugas sebenar guru yang semakin mencabar dan bukan menjadikan mereka sebagai ‘pengasuh sepenuh masa’.
“Guru bukan pemandu peribadi. Mereka dah cukup sibuk dengan tugas mengajar, urusan kokurikulum dan aktiviti sekolah,” katanya.
Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa simpati terhadap guru yang sering dibebankan dengan pelbagai permintaan di luar skop kerja.
“Kadang-kadang kasihan tengok cikgu. Semua benda nak minta tolong. Bila berlaku apa-apa dekat jalan nanti siapa tanggung?” katanya.
Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial berpendapat ibu berkenaan mungkin berada dalam keadaan terdesak dan berharap isu itu dapat diselesaikan secara baik tanpa mengecam mana-mana pihak.
“Boleh jadi dia betul-betul tak ada pilihan. Tapi kena faham juga cikgu ada tanggungjawab dan risiko,” ujar seorang pengguna X.
Perkongsian tersebut sekali lagi membuka perdebatan mengenai batas tugas guru di sekolah selain menyeru ibu bapa agar lebih peka terhadap beban kerja warga pendidik ketika ini.- KOSMO! ONLINE.














