KUALA LUMPUR – Akta penjagaan ibu bapa yang meletakkan tanggungjawab kepada anak-anak bakal diwujudkan dalam memastikan tiada pengabaian kepada mereka sewaktu meniti usia tua.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengemukakan kertas cadangan bagi pembentukan akta berkenaan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
Menurutnya, ia kemudian mesti dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan dasar.
“Beberapa negara telah melaksanakan undang-undang berkenaan, tapi negara kita masih dalam peringkat kajian.
“Kita tidak mahu dalam Malaysia menuju ke sebuah negara maju, soal tanggungjawab sosial kepada ibu bapa diabaikan termasuk nilai agama serta ketimuran, harus ada perimbangan antara duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Beliau berkata kepada media pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, semua bangsa dan agama turut memberi penekanan terhadap penjagaan ibu bapa walaupun perkara itu berbeza antara satu negara dengan negara yang lain.
“Kita mempunyai nilai Malaysia sendiri dan ia penting serta harus dipertingkatkan. Kita mula lihat pengabaian ibu bapa tua dan soal untuk hantar ke rumah orang tua serta tinggalkan tanpa melawat.
“Ia satu pelepasan tanggungjawab sangat tidak dialu-alukan. Kita mesti mempelajari pengalaman beberapa negara yang telah melaksanakannya (akta penjagaan ibu bapa) dan jika ada belum melaksanakannya, kita anggap mereka akan melakukan keadaan sama,” tegasnya.
Berhubung Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026–2030, beliau menerusi ucapannya berkata, ia mesti menjadi gerak kerja yang jelas, dengan 102 inisiatif berpaksikan empat tumpuan utama iaitu pencegahan, pemerkasaan, promosi dan perlindungan.
Malah, katanya, ia juga menjadi jambatan antara dasar yang dirangka dengan kehidupan rakyat antaranya, memastikan bantuan tidak bertindih, maklumat tidak terputus, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE














