KUALA LANGAT – Taktik memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi secara haram dalam kawasan ladang sawit terbongkar apabila diserbu dalam kejadian di Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat di sini, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 3 petang menerusi Ops Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 20-an.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek sedang memindahkan LPG daripada tong subsidi 14 kilogram (kg) ke tong industri 50kg di sebuah premis tidak bernombor dalam ladang sawit berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dengan menyasarkan pasaran industri yang mahu mendapatkan bekalan LPG pada harga lebih murah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai peralatan termasuk hos penyambung dan timbunan bungkusan beg plastik berisi ais di kawasan tersebut.
“Bekalan LPG subsidi itu diperoleh daripada pemborong berlesen di sekitar kawasan Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya hari ini.
Beliau berkata, operasi bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu berjaya mengekang ketirisan subsidi negara yang dianggarkan mencecah RM750,000.
Tambahnya, sebanyak 250 tong LPG pelbagai jenama bersama alat timbang pelantar turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM400,000.-KOSMO! ONLINE.














