PETALING JAYA – Hujan luar biasa dengan taburan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh singkat dikenal pasti antara punca beberapa kawasan di sini, semalam dilanda banjir kilat.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan hari ini berkata, taburan hujan yang sangat tinggi semalam bermula dari kawasan hulu (upstream) di Kuala Lumpur.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung volum aliran air yang luar biasa, ditambah dengan fenomena aliran balik (backflow) dari Sungai Klang yang telah mencapai kapasiti maksimum.
“Situasi ini sekali gus menjejaskan keupayaan sistem saliran bandar untuk mengalirkan air secara optimum,” katanya.
MBPJ berkata antara kawasan dikenal pasti terjejas ialah lokaliti sepanjang koridor Sungai Penchala melibatkan Seksyen 51, Seksyen 17 dan Seksyen 19 selain kawasan berhampiran Sungai Klang termasuk Taman Medan, Sri Manja dan Buana Perdana.
Susulan kejadian itu, MBPJ memaklumkan Skuad PANTAS digerakkan segera bagi melakukan penutupan jalan-jalan kritikal demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Bagi fasa pasca-banjir, kerja-kerja pembersihan sisa banjir telah dijalankan oleh pihak KDEB Waste Management di bawah kawasan seliaan Majlis.
“Pada masa sama, MBPJ juga telah mewujudkan saluran komunikasi dua hala melalui aplikasi WhatsApp bersama komuniti setempat, termasuk wakil peniaga Jalan 223, bagi penyaluran maklumat paras air Sungai Penchala secara waktu nyata atau real-time,” katanya.
Bagi langkah jangka panjang, MBPJ berkata pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah merangka beberapa pelan tebatan banjir termasuk pembinaan tembok banjir (floodwall) di kawasan kritikal Sungai Penchala serta pemasangan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) dan flapgate di outlet saliran utama.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di sini, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang semalam.
Paling teruk, kawasan medan selera di Jalan 51A/223, Seksyen 51A sekali lagi dilanda banjir kilat sedalam kira-kira 1.2 meter dalam tempoh dua minggu sehingga menyebabkan beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir tenggelam.- KOSMO! ONLINE














