MELAKA – Polis Melaka menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam aktiviti kutipan sumbangan melalui aplikasi WhatsApp seperti yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penularan mesej tersebut yang mengandungi hebahan penganjuran satu program.
Katanya, mesej itu didakwa berlangsung ‘Kursus Pemantapan Integriti dan Pemanduan Asas (SOP) Cawangan Trafik dan Pengangkutan IPK Melaka Siri 2/2026’.
“Hebahan itu turut menyatakan program tersebut diadakan di Maktab Teknik PDRM Cheras, Kuala Lumpur bermula 22 hingga 24 April 2026.
“Ia memaparkan gambar anggota beruniform, lokasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan mesej mengandungi permintaan sumbangan kewangan termasuk butiran akaun bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Polis Melaka menegaskan tiada sebarang kursus atau program seperti yang dinyatakan anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka.
“Polis memandang serius perkara ini kerana melibatkan penyalahgunaan nama jabatan dan berpotensi mengelirukan orang ramai. Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini dipercayai mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














