JAKARTA – Seorang guru sekolah mengayuh sebuah basikal pinjam sejauh 6 kilometer untuk sampai ke sekolah tempat dia mengajar, lapor laman berita Bangka.pos.
Guru dikenali sebagai Abdul Aziz itu mengayuh basikal setiap hari sambil membonceng anak perempuannya yang juga murid sekolah.
Dia melakukan perjalanan tersebut di jalan raya yang sibuk dengan kenderaan berat seperti lori kontena.
Selepas kisahnya menjadi tular, Abdul Aziz mendapat bantuan berupa sebuah motosikal dari organisasi Relawan Gerak Bareng.
Motosikal itu dhantar ke tempat dia mengajar di Madrasah Ibtidaiyah (MI) Nurul Islam 1 Kamal Muara semalam.
Motosikal itu ditutup dengan kain sebelum akhirnya dibuka di hadapan pelajar dan guru lain.
Selepas kain penutup dibuka, sebuah motosikal Honda Genio kelihatan, manakala Abdul Aziz tak mampu menahan emosi, lantas menangis dan memeluk relawan yang menyerahkan kendaraan tersebut.
“Alhamdulillah Ya Allah, senang hati saya. Setelah lebih enam bulan mengayuh basikal, akhirnya ada orang baik yang memberikan motor, saya benar-benar terharu,” katanya. – AGENSI














