IPOH – Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, institusi, badan kebajikan, kumpulan sukarelawan dan orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan makanan kepada golongan gelandangan di sini disarankan melaksanakannya melalui Anjung Singgah Perak.
Anjung Singgah Perak kini berfungsi sebagai pusat sehenti agihan makanan berpusat kepada golongan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron berkata, inisiatif yang mendapat sokongan kerajaan negeri Perak serta kerjasama pelbagai agensi kerajaan, NGO dan rakan strategik itu bertujuan memastikan bantuan makanan berkenaan dapat disalurkan secara lebih tersusun, sistematik dan berkesan.
Katanya, sebagai penyelaras, YKN komited untuk memastikan setiap sumbangan kepada golongan gelandangan diurus secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Pelaksanaan Anjung Singgah Perak sebagai pusat sehenti agihan makanan bukan sahaja memperkemas penyelarasan bantuan, malah membolehkan kita memahami keperluan sebenar golongan sasar dengan lebih menyeluruh,” katanya.
“Walaupun usaha tersebut lahir daripada semangat kesukarelawanan dan keprihatinan masyarakat, pendekatan yang tidak diselaraskan boleh menyebabkan pertindihan bantuan, pembaziran makanan serta cabaran dari aspek kebersihan dan pengurusan kawasan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan dan agihan makanan kepada gelandangan sempena Hari Terbuka Anjung Singgah Perak dan Pembukaan Pengoperasian Pusat Agihan Makanan Berpusat kepada gelandangan di sini semalam. – KOSMO! ONLINE














