ALOR SETAR – Sebuah sekolah untuk pelajar etnik Rohingya di Tongkang Yard, di sini dikatakan menawarkan pembelajaran asas kepada kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun sejak 2023.
Tinjauan di premis itu mendapati kira-kira 40 pelajar mengikuti sesi pembelajaran dalam suasana sederhana di bangunan yang disewa.
Seorang tenaga pengajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ina mendakwa, sekolah itu diusahakan bersama rakannya yang merupakan etnik Rohingya bagi memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak komuniti tersebut.
Menurutnya, pelajar diajar mata pelajaran asas termasuk bahasa Melayu dan bahasa inggeris selain pengajian al-Quran.
“Saya dan rakan kongsi yang merupakan orang Rohingya menyewa premis ini untuk membuka sekolah. Di sini pelajar diajar pelajaran asas seperti bahasa Melayu serta inggeris selain mengaji al-Quran. Bayaran dikenakan antara RM100 hingga RM120 seorang,” katanya.
Bagaimanapun, guru warga tempatan itu mengakui sekolah tersebut masih belum berdaftar dengan mana-mana pihak setakat ini.
Tinjauan turut mendapati sesi pembelajaran dijalankan menggunakan kemudahan asas dengan pelajar ditempatkan di beberapa ruang kelas di premis tersebut.
Difahamkan, sekolah itu antara beberapa pusat pembelajaran yang diwujudkan secara persendirian bagi memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak komuniti berkenaan di negeri ini.
Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) mendakwa terdapat lebih 70 sekolah yang dikendalikan komuniti Rohingya dan penduduk tempatan beroperasi di Kedah dengan sembilan daripadanya dipercayai berada di daerah Kota Setar.
Sekolah-sekolah berkenaan didakwa beroperasi di premis sewaan termasuk rumah dan lot perniagaan selain.
PAKU pada masa sama berharap pihak kerajaan dapat memantau perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE













