IPOH – Pengalaman membesarkan anak yang didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme menjadi titik perubahan buat seorang guru untuk mendalami bidang pendidikan khas.
Penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026, Dr. Velerie Wheelervon Primus, 37, berkata, kasih sayang terhadap anak lelaki tunggalnya yang berusia 11 tahun mendorong beliau beralih ke bidang itu bagi membantu pembelajaran kanak-kanak tersebut.
Malah katanya, ia juga menjadi asas kepada pembangunan beberapa pendekatan intervensi yang kini digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran murid berkeperluan khas.
“Saya memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai guru sukan sebelum mengajar seni. Selepas anak lelaki saya disahkan menghidap autisme, saya beralih kepada aliran pendidikan khas pada tahun 2020.
“Saya kemudiannya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau dengan menambah opsyen dalam bidang pendidikan khas,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di sini hari ini.
Menurut Velerie, sepanjang penglibatannya dalam bidang pendidikan khas, beliau telah membangunkan tiga pendekatan berbeza bagi membantu murid-murid berkeperluan khas.
Sementara itu, mengulas anugerah yang diterimanya, beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas penghormatan yang diterima. – KOSMO! ONLINE














