fbpx
Sultan Nazrin berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama lebih 2,000 jemaah termasuk pelajar dan warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali Ke-55 di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini.

Rasulullah SAW guru teragung, lahirkan generasi terbaik sejarah Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Rasulullah SAW disifatkan sebagai guru paling agung kerana mendidik umat manusia dengan penuh hikmah, akhlak luhur, kesabaran dan kebijaksanaan sehingga berjaya melahirkan generasi terbaik dalam sejarah Islam.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad dalam khutbah Jumaat, Rasulullah SAW disifatkan sebagai guru paling agung kerana mendidik umat manusia dengan penuh hikmah, akhlak luhur, kesabaran dan kebijaksanaan sehingga berjaya melahirkan generasi terbaik dalam sejarah Islam.

“Rasulullah SAW membetulkan kesalahan tanpa memalukan, menegur tanpa merendahkan dan mendidik tanpa mematahkan jiwa. Lembut pada masanya dan tegas pada tempatnya. Pendekatan Rasulullah SAW merupakan kaedah didikan berhikmah.

“Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu sebaliknya membimbing manusia mengenal kebaikan dan membentuk kesejahteraan hidup melalui pendidikan berteraskan hikmah,” katanya dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’ sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama lebih 2,000 jemaah termasuk pelajar dan warga pendidik terutamanya guru di masjid itu. Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya, lima ciri utama guru berhikmah ialah menggabungkan ilmu dan akhlak, mendidik dengan ikhlas serta amanah, prihatin terhadap keperluan murid, sentiasa meningkatkan kemahiran serta memastikan kecemerlangan akademik seiring pembentukan sahsiah.

“Islam mengangkat tinggi martabat guru, meletakkan guru bertaraf mulia sesuai dengan kedudukan ilmu, muallim dan murabbi yang memikul amanah untuk mencerahkan minda, menyampaikan ilmu dan membina insan sejahtera.

“Hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita. Tunjukkan adab berterima kasih kepada guru dengan menghormati mereka dan menghargai jasa mereka serta mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya.

Teks khutbah tersebut turut dibacakan 625 orang warga pendidik terutamanya guru yang mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyampaikan khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN