PUTRAJAYA – Malaysia dan Australia menzahirkan komitmen untuk saling menyokong bekalan sumber tenaga termasuk bahan api dan gas asli cecair (LNG) ketika pasaran tenaga global berdepan tekanan hebat susulan gangguan rantaian bekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara berkongsi hubungan saling bergantung kukuh dalam sumber tenaga termasuk bahan api selain mempunyai perjanjian sedia ada yang terus diperkukuh.
Anwar berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk melihat keperluan tenaga domestik Malaysia dan Australia serta mengenal pasti bagaimana boleh saling membantu atas dasar timbal balas.
“Kita turut menandatangani Kenyataan Bersama mengenai keselamatan tenaga yang mencerminkan komitmen memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan.
“Saya telah menyatakan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan ingin saya ulangi secara terbuka bahawa Malaysia akan sentiasa menjadi rakan yang boleh dipercayai kepada Australia serta akan bersama dalam susah dan senang,” katanya dalam sidang akhbar bersama ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Australia ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Albanese berkata, kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara yang mana Australia merupakan pengeksport utama LNG ke Malaysia dan pada masa sama, pihaknya menerima pelbagai produk dari Malaysia termasuk bahan api dan baja.
“Kami telah menugaskan Petronas serta kementerian saya untuk meneruskan usaha lanjut bagi menangani cabaran besar yang dihadapi kedua-dua negara ketika ini.
“Australia amat yakin akan terus memenuhi kontrak sedia ada dengan Malaysia kerana kami melihat jaminan bekalan ini sebagai sesuatu yang sangat penting dalam hubungan serantau,” katanya.
Beliau berkata, sumber Australia membantu menjana tenaga di rantau ini, manakala sektor pertanian negara itu pula menyumbang kepada bekalan makanan serantau.
Menurutnya, hampir 60 peratus bekalan gandum Malaysia serta 75 peratus daging kambing dan lembu di negara ini diperoleh dari Australia. – KOSMO! ONLINE














