fbpx
Tangkap layar insiden seorang penunggang motosikal dirempuh kereta di KM 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), semalam.

Mekanik maut, putus tangan kiri dirempuh kereta di Suke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.56 petang itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, sebelum kejadian, siasatan mendapati pemandu kereta dari arah Kajang dalam keadaan laju dan melulu memasuki susur menghala ke Ampang.

“Kereta tersebut telah memotong kenderaan yang berada di hadapannya sebelum merempuh sebuah motosikal yang berada di sebelah kanan jalan.

“Akibat pelanggaran, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta putus tangan kiri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Naazron berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan pemandu e-hailing telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI