fbpx
TERTUDUH kiri keluar dari mahkamah selepas membayar denda di Mahkamah Majistret di Rompin hari ini.

Pemandu teksi didenda, ketuk skrin mesin ATM selepas kad tersangkut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Tindakan seorang pemandu teksi mengetuk skrin mesin juruwang automatik (ATM) sehingga pecah gara-gara kad ATM tersangkut membawa padah apabila dia dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan bon berkelakuan baik sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Melody Wong Sze Woon menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh Muhammad Affizam Zainal,52, mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada pukul 10 pagi 25 Februari lalu di sebuah stesen minyak Jalan Kuantan-Segamat di sini telah melakukan khianat terhadap harta milik sebuah bank dengan merosakkan skrin mesin ATM.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najmi Arifin Nasaruden manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding Najmi Arifin memohon tertuduh dikenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kerana perbuatan khianat yang dilakukan tertuduh bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda tetapi memberi kesan kepada orang lain.

Tertuduh bagaimanapun memohon hukuman diringankan memandangkan dia menanggung dua anak dan seorang isteri dan dia berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.

Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada pengadu dan dikenakan hukuman bon berkelakuan baik selama setahun dengan cagaran sebanyak RM3,000 di bawah Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah.

Tertuduh juga diminta melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong setiap Isnin pada pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN