fbpx
Gambar hiasan

Ibu tiri didakwa bunuh kanak-kanak empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh anak tirinya berusia empat tahun di sebuah rumah di Taman Perling, awal bulan ini.

Tertuduh berusia 23 tahun bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, mangsa pada mulanya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu tirinya pada pukul 4.23 petang, 2 Jun lalu.

Menurut beliau, wanita itu kemudian menghubungi ambulans sebelum kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.

“Pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan fizikal dan kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan pada 3 Jun mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan hentakan tumpul pada bahagian dada (blunt trauma to the chest),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurut Ab Rahaman, polis kemudian menahan tiga warga asing terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia antara 22 hingga 32 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar Johor Bahru pada 3 Jun lalu.

Katanya, dua lelaki terbabit merupakan bapa kandung dan bapa saudara mangsa.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif.

“Kertas siasatan yang lengkap telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan dikeluarkan supaya wanita tersebut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki pula dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan wanita itu kini ditahan di Penjara Simpang Renggam sehingga sebutan semula kes pada 18 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN