fbpx
Gambar hiasan.

Spa songsang: Lima lelaki mengaku tidak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lima lelaki termasuk dua pengarah pusat kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang dan tidak bermoral dalam serbuan pada November tahun lepas, didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini.

Bagaimanapun kesemua mereka yang berusia 20 hingga 70 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka hadapan Majistret S.Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd Halim dan IIli Marisqa Khalizan.

Di hadapan Majistret Arunjothy, dua pengarah masing-masing berusia 59 dan 70 tahun didakwa bersama-sama telah membenarkan aktiviti tidak bermoral di dalam premis selain daripada aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen iaitu menjalankan aktiviti sauna, jakuzi, steam, aerobik, pusat kecergasan, gimnasium, kedai kopi dan kafe.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Ipoh Kecil, Chow Kit di sini pukul 8 malam pada 28 November 2025 mengikut Seksyen 20 (1)(c) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 38 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000.

Di mahkamah sama, pekerja pusat itu berusia 64 tahun pula didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi video lucah di dewan serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 11.15 pagi, 30 November mengikut Seksyen 292 (a)Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Noorelynna Hanim, pengunjung pusat itu yang berusia 44 tahun didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi gambar an video lucah pada tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 292 (a)Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret IIli Marisqa, seorang lagi pengunjung berusia 20 tahun didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau dengan cara meraba bahagian dada dan paha seorang lelaki di premis di premis, waktu dan tarikh sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin; Iman Nurhidayah Ezani dan Syafika Azwa Fikri, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zaid Malek, Mahajoth Singh, Reenajit Kaur Golen, Raqib Osman dan Jeichandran Santhirasegaran.

Ketiga-tiga mahkamah kemudian membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM4,000 dan menetapkan 18 Mei, 9 Jun dan 24 April untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI