Dalam dunia fesyen yang semakin menitikberatkan identiti visual, analisis warna atau colour analysis kini menjadi senjata rahsia ramai selebriti untuk tampil lebih menyerlah termasuk penyanyi terkenal, Sarah Suhairi.
Melalui pemilihan tona warna yang tepat berdasarkan warna kulit dan ciri semula jadi, seseorang bukan sahaja kelihatan lebih berseri, malah imej keseluruhan juga tampak lebih tersusun dan profesional.
Berkongsi dengan CitaRasa, Sarah berkata, pendekatan itu bukan sekadar soal gaya tetapi satu strategi yang membantunya untuk tampil lebih bergaya.
“Analisis warna menjadi trend semasa dan saya mendapati bahawa saya sebenarnya true autumn yang bermaksud saya sesuai menggayakan warna-warna seperti teal dan warm brown.
“Jika sebelum ini, saya pakai apa sahaja yang saya rasakan sesuai, namun selepas tahu warna yang sesuai, saya akan pastikan saya ‘masukkan’ elemen warna itu ke dalam pakaian harian saya,” katanya membuka bicara.
Ujar Sarah, gaya peribadinya cukup ringkas dan selamat.
Baginya, tiga item ini harus ada dalam almarinya iaitu skirt panjang dengan potongan sedikit kembang, kemeja polos aneka warna dan juga kasut sneakers dengan potongan kasual.
“Untuk skirt, saya sukakan potongan yang sedikit flared dan saya kerap gayakan skirt itu bersama kasut sneakers.
“Namun, sneakers saya haruslah jenis yang kasual dan tidak nampak terlalu sporty.
“Kemeja pula, saya ada banyak baju kemeja polos dalam pelbagai warna. Bagi saya, ia mudah dipadankan dengan apa juga pakaian yang kita gayakan,” jelasnya.

Biarpun ringkas, namun gaya Sarah sesuai dengan penampilannya yang bertudung.
Sarah juga mengakui sering menampilkan gaya tudung yang berlainan sebagai cara dia menjadikan penampilan biasa nampak lebih menarik.
“Jika untuk ke urusan harian, saya biasanya akan bergaya kasual sahaja seperti memakai kemeja dan juga seluar jean.
“Namun, sebagai wanita berhijab, saya mendapati bahawa biarpun kita tampil ringkas, namun kita perlu effort yang lebih untuk nampak lebih bersiap.
“Oleh sebab itu, saya akan tukar-tukar gaya tudung, atau menggayakan selendang manik biarpun ketika keluar menjemput suami di lapangan terbang untuk nampak lebih bergaya,” katanya.
Selain pakaian, Sarah juga ketika ini amat suka mengumpul barangan kemas, selain mengakui baru sahaja membeli bekas menyimpan barangan kemas baharu di rumahnya.
“Satu item fesyen yang saya cukup suka atau sedang obses sekarang adalah aksesori emas.
“Saya sukakan jenis yang kecil, namun saya akan gayakan secara stacking (bersusun). Kebetulan, emas juga merupakan warna terbaik untuk penggayaan aksesori buat mereka yang berada dalam kategori true autumn,” katanya.














