LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot memberi fokus untuk memastikan pasukannya mampu menamatkan musim ini di kedudukan paling tinggi biarpun sudah terlepas peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak mudah apabila mereka dijadual turun menentang seteru tradisi, Manchester United malam ini di Old Trafford selain misi melunaskan dendam kekalahan pada aksi pertama di Anfield pada Oktober lalu.
“Kami sedar bahawa ini adalah perlawanan yang besar, bukan kerana kami perlu menentang Manchester United, tetapi ini juga penting untuk meningkatkan peluang kami beraksi di Liga Juara-Juara.
“Kami mahu menang liga musim ini, tetapi ia sudah menjadi perkara yang mustahil. Jadi, kami akan cuba untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan paling tinggi yang kami mampu lakukan.
“Kemenangan juga pastinya menjadi petanda penting bahawa kami berada pada prestasi terbaik dan kembali ke landasan sebenar selepas prestasi naik turun sebelum ini dan memastikan kami ke pentas Eropah,” katanya.
Bagaimanapun, tugas Liverpool kali ini tidak mudah apabila kehilangan beberapa pemain tonggak apabila Mohamed Salah sah terpaksa diketepikan ekoran kecederaan hamstring, manakala Alisson Becker juga terpaksa disisihkan.
Alisson bakal tersisih hingga penghujung musim, manakala penjaga gol kedua, Giorgi Mamardashvili juga belum dapat dipastikan tahap kecergasan sekali gus terpaksa meletakkan kepercayaan terhadap pemain mudanya, Freddie Woodman.
Biarpun tanpa Salah, Slot mengakui lega apabila menyaksikan penggempur termahal EPL, Alexander Isak kembali berada pada tahap kecergasan terbaik apabila meledak gol pada aksi terakhir ketika menentang Crystal Palace sebelum ini. – AGENSI














