MANCHESTER – Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick mengakui perlawanan menentang Liverpool adalah salah satu aksi yang sangat digemarinya ketika kedua-dua pasukan bakal berentap di OId Trafford malam ini.
United turun dengan kelebihan berada di kedudukan satu tangga lebih tinggi berbanding Liverpool selepas meraih 61 mata dan memiliki tiga mata lebih berbanding lawannya itu yang menghuni posisi keempat.
Sepanjang bergelar pemain, Carrick pernah berdepan Liverpool dalam 33 perlawanan untuk semua kejohanan yang berakhir dengan meraih 13 kemenangan, enam kekalahan dan bakinya adalah seri.
“Perlawanan menentang Liverpool sentiasa menjadi aksi kegemaran saya, itu saya tidak ragu. Ia adalah perlawanan yang luar biasa. Pertemuan ini sentiasa menjadi perlawanan yang besar walaypun aksi menentang pasukan lain juga penting.
“Setiap kali bertemu, perlawanan menentang Liverpool akan diselubungi emosi dan sejarah menyebabkan ia sangat istimewa. Apabila menentang mereka, perkara pertama berada dalam fikiran adalah suasana, tanpa memikirkan mengenai kedudukan dalam liga,” katanya.
Tambahnya, biarpun kedua-dua pasukan tidak berada pada kedudukan yang mampu mencabar kejuaraan liga, pertembungan tersebut dianggap paling penting dan sentiasa memerlukan tumpuan lebih apabila ia melibatkan maruah.
Kali terakhir kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam perebutan gelaran liga adalah pada 2009, namun aksi kali ini dianggap penting untuk memastikan mereka mampu mengekalkan kelebihan untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara.
Sekiranya United berjaya meraih kemenangan pada perlawanan itu, mereka mampu melebarkan jurang dengan lebihan enam mata dan sah berada dalam kelompok lima pasukan terbaik dan mampu beraksi di pentas elit Eropah itu.
Selain itu, kemenangan juga mampu mencerahkan peluang untuk United menamatkan saingan musim ini di kedudukan lebih tinggi berbanding Liverpool selepas kali terakhir melakukannya pada 2023 ketika Erik Ten Hag mengemudi mereka. – AGENSI














