fbpx
Mohd. Azam bercakap pada sidang akhbar selepas Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini. - FOTO oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

333 lagi asrama sekolah KPM bakal dilengkapi CCTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memasang dan menambah sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di 300 buah asrama sekolah di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pemasangan peralatan untuk menjaga keselamatan pelajar dan mencegah kejadian buli di sekolah itu merupakan fasa kedua projek tersebut.

Menurutnya, pada fasa pertama, sebanyak 200 buah asrama sekolah di seluruh negara sudah dipasang CCTV sepanjang tahun lalu.

“Pemasangan CCTV di 333 sekolah asrama KPM itu akan dijalankan secara berperingkat. Setakat ini, aspek pemasangan CCTV untuk fasa kedua masih berada pada peringkat teknikal.

“Sehubungan itu, pemasangan CCTV di sekolah tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana ada akta berkait privasi yang perlu dipertimbangkan. Kita mahu memasang dan meletakkan CCTV di asrama sekolah agar ia benar-benar efektif dan berkesan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam memberitahu, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan mengenai pemasangan CCTV daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan pihak lain mengenai hak kanak-kanak.

Menurutnya, daripada aspek teknikal pula, KPM turut akan mendapat nasihat daripada Jabatan Kerja Raya kerana pemasangan CCTV itu melibatkan bangunan kerajaan.

Kosmo! Online pada 4 September lalu melaporkan, KPM akan memasang CCTV di 200 buah asrama sekolah di seluruh negara sebagai langkah untuk menjaga keselamatan pelajar dan mencegah kejadian buli.

Mohd. Azam berkata, KPM sebelum ini sudah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk kerja-kerja pemasangan CCTV di asrama sekolah.

Menurutnya, proses perolehan pemasangan peranti keselamatan itu sudah dijalankan dan kerja-kerja pemasangannya akan dibuat dalam kadar segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI