MENJELAJAH wilayah Amerika Syarikat (AS) Barat melalui jalan darat (road trip) sememangnya antara pengalaman paling mencabar, namun mengujakan yang pernah terpahat dalam hidup saya.
Selama hampir dua minggu, saya bersama keluarga ‘menelan’ jarak sejauh 5,200 kilometer (km) merentasi barisan destinasi ikonik dunia.
Dari gemerlap Las Vegas, keunikan Arizona, pesona Los Angeles sehinggalah ke San Francisco dan ketenangan Lake Tahoe, setiap hentian ada ceritanya yang tersendiri.
Berbeza dengan New York, wilayah AS Barat ini topografinya agak unik. Secara geografinya, landskap di sini didominasi oleh gurun dan tanah lapang yang sangat luas.
Namun, pemandangan kering kontang ini menawarkan estetika berbeza yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kos kembara ke AS ini memang memerlukan modal yang agak tinggi. Sudah pastinya, kos tiket penerbangan antara faktor penyumbang kepada perbelanjaan yang agak tinggi bagi kembara di benua AS.
Sementara kos sewa kereta dan petrol pula menelan belanja sekitar RM5,000 sepanjang perjalanan.
Antara lokasi yang berjaya membuatkan saya terpaku adalah Antelope Canyon di Arizona.
Sebelum ini, kecantikan formasi batuannya hanya mampu saya tatap di skrin komputer sebagai wallpaper.

Namun, apabila berdiri sendiri di dalam celahan batuan tersebut, magisnya benar-benar berbeza.
Walaupun harga tiket masuknya agak ‘keras’, namun setiap sen yang dikeluarkan terasa sangat berbaloi demi sekeping memori.
Melanjutkan perjalanan ke San Francisco terus memahat takhta sebagai kota yang menarik perhatian saya.
Pemandangan Jambatan Golden Gate yang gah berdiri di sebalik kabus nipis sememangnya memukau pandangan.
Bagaimanapun, di sebalik keindahan itu, pelancong harus sentiasa ‘membuka mata’. Kota ini terkenal dengan lambakan gelandangan, penagih dadah dan kes pecah cermin kereta.
Jadi, jangan sesekali tinggalkan barang berharga di dalam kenderaan anda di tempat letak kereta.
Suasana ini jauh berbeza dengan Las Vegas yang tidak pernah tidur, dipenuhi deretan kasino dan bunyi dentingan mesin judi di hampir setiap lobi hotel.
Kebetulan, kami berkunjung pada musim panas, jadi suhunya agak menguji ketahanan fizikal.

Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu berada di Las Vegas dan Hoover Dam apabila tiupan anginnya terasa seperti bahang ketuhar dengan suhu mencecah hampir 45 darjah Celsius.
Perjalanan kami seterusnya beralih ke Los Angeles (LA), sebuah bandar tersohor yang sinonim sebagai tempat tinggal kebanyakan artis Hollywood.
Jujurnya, ia agak lari daripada imaginasi awal saya. Saya menyangka LA dipenuhi bangunan pencakar langit yang padat seperti Kuala Lumpur, rupanya suasana jauh lebih santai dan sederhana.
Antara pengalaman lain yang menggamit memori adalah ketika pemanduan kami menyusuri Route 66.
Deretan pekan vintaj di sepanjang laluan bersejarah ini menghidupkan suasana nostalgia era Wild West yang kuat, seolah-olah kami sedang menonton filem koboi klasikal Hollywood.
Namun, tumpuan utama kembara kami sudah tentulah Grand Canyon yang terletak di Arizona yang mempunyai bentuk muka bumi sangat unik dan luar biasa. Grand Canyon merupakan sebuah lembah yang amat dalam dan luas, dengan tebing-tebing yang curam dan bertingkat-tingkat.
Menjelajah ribuan kilometer merentasi kontrasnya gurun, gahnya kota metropolitan, dan agungnya keajaiban alam menjadikan road trip AS Barat ini sebagai naskhah bermakna.














