fbpx
PENGGUNA media sosial gemar melepaskan emosi marah terhadap sesuatu isu yang tidak dipersetujui. – Gambar hiasan

Budaya komen kasar di media sosial kian parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ATRIZA UMAR

Dalam dunia media sosial hari ini, manusia seolah-olah hidup dalam dua alam berbeza. Di alam nyata, ramai orang mampu tersenyum, bersalam, berbudi bahasa dan menjaga tutur kata.

Namun, apabila masuk ke alam maya, sebahagian berubah menjadi sangat keras, mudah menghina, cepat melatah dan tidak segan menggunakan bahasa kesat.

Seolah-olah skrin telefon menjadi ‘topeng’ yang menutup rasa malu dan adab dalam diri.

Kadang-kadang, sesuatu status yang tidak dipersetujui tidak pun menyentuh peribadi mereka. Tetapi komen yang ditinggalkan sangat kasar, sinis dan menyakitkan hati.

Ada yang terus melabel orang lain bodoh, penjilat, walaun, liberal, macai, sesat dan pelbagai gelaran buruk lain hanya kerana perbezaan pandangan. Sedangkan jika bertemu di depan mata, belum tentu mereka berani bercakap sedemikian.

Itulah antara penyakit besar masyarakat digital hari ini iaitu terlalu cepat bereaksi, tetapi terlalu lambat berfikir.

Media sosial akhirnya menjadi tempat manusia melepaskan emosi, bukan lagi ruang menyuburkan ilmu dan hikmah. Apa sahaja yang tidak disukai akan diserang. Apa sahaja yang tidak selari dengan pemikiran sendiri akan dihukum.

Malah ada yang berasa puas apabila berjaya ‘memalukan’ orang lain di ruangan komen. Mereka menganggap ia kemenangan, sedangkan hakikatnya mereka sedang kehilangan nilai kemanusiaan sedikit demi sedikit.

Lebih membimbangkan, budaya ini mula dianggap normal. Anak-anak kecil membaca komen kasar setiap hari. Remaja membesar dalam suasana maki hamun digital.

Orang dewasa pula berlumba menjadi ‘keyboard warrior’ demi perhatian dan jumlah likes. Akhirnya, masyarakat menjadi semakin keras hati, cepat marah dan hilang sensitiviti terhadap adab.

Padahal dalam Islam, adab itu lebih tinggi nilainya daripada kepintaran berbicara. Rasulullah SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia, bukan sekadar memenangkan hujah.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Malangnya hari ini, ramai mahu dilihat bijak tetapi lupa menjadi baik. Sebenarnya, tidak semua perkara perlu diberi respons. Kadang-kadang diam itu lebih matang.

Tidak semua status perlu dibalas. Tidak semua pandangan perlu diperangi. Ada manusia yang terlalu sibuk mahu menang dalam perdebatan sehingga lupa menjaga hati dan lidah.

Kita harus memahami bahawa media sosial hanyalah ruang perkongsian, bukannya medan untuk menghukum manusia sesuka hati.

Tidak bersetuju itu biasa. Berbeza pandangan itu normal. Tetapi kehilangan adab ketika berbeza pandangan adalah sesuatu yang sangat berbahaya.

Masyarakat hari ini terlalu letih dengan kebencian. Setiap hari disajikan dengan pergaduhan politik, sindiran agama, penghinaan kaum dan perbalahan tidak berkesudahan.

Lama-kelamaan manusia menjadi emosional dan mudah melenting, walaupun terhadap perkara kecil. Akibatnya, ramai tidak lagi membaca dengan hati yang tenang, tetapi membaca dengan emosi sedang membara.

Sebab itu kita melihat ramai netizen hanya membaca tajuk tanpa memahami isi. Mereka terus menyerang tanpa meneliti konteks sebenar.

RAMAI berubah menjadi kurang beradab apabila berkomunikasi di media sosial.

Apa yang penting hanyalah melampiaskan rasa marah. Sedangkan kemarahan yang tidak dikawal hanya akan melahirkan masyarakat kasar dan tidak matang. Lebih menyedihkan, ada yang menjadikan agama sebagai alasan untuk menghina orang lain.

Kononnya mahu mempertahankan kebenaran, tetapi cara yang digunakan penuh caci maki. Padahal Nabi SAW sendiri sangat lembut ketika menegur manusia. Baginda tidak mendidik dengan penghinaan. Baginda membina manusia dengan hikmah dan kasih sayang.

Dalam dunia hari ini, kekuatan sebenar bukan pada siapa paling lantang menghina, tetapi siapa paling tenang menjaga akhlak ketika diserang. Kita juga perlu sedar bahawa setiap komen yang ditulis akan meninggalkan kesan kepada orang lain.

Ada manusia yang sedang berdepan tekanan hidup, masalah keluarga, kemurungan dan keletihan emosi.

Kata-kata kasar yang dianggap ‘biasa’ oleh netizen mungkin menjadi luka besar kepada orang lain. Tidak mustahil satu komen jahat menjadi sebab seseorang hilang keyakinan diri, trauma atau hidup dalam ketakutan. Oleh itu, masyarakat perlu kembali membina budaya rahmah dalam komunikasi.

Jika tidak mampu berkata baik, lebih baik diam. Jika tidak setuju, berilah pandangan dengan matang. Jika marah, tenangkan diri dahulu sebelum menulis komen. Tidak rugi menjadi manusia yang lembut. Kadang-kadang, manusia terlalu mahu didengari sehingga lupa untuk memahami.

Terlalu mahu menang sehingga lupa nilai ihsan. Sedangkan dunia ini sudah cukup keras. Mengapa kita mahu menambah lagi kebencian?

Bayangkan jika setiap manusia memilih untuk menulis dengan adab, bercakap dengan hikmah dan menegur dengan kasih sayang. Media sosial tidak lagi menjadi tempat pergaduhan, tetapi ruang menyebarkan ilmu, harapan dan ketenangan. Kita tidak mampu mengawal semua manusia. Tetapi kita mampu mengawal diri sendiri.

Sebelum menulis komen, tanyalah kepada hati: “Jika kata-kata ini dibacakan semula di hadapan ibu bapa, anak-anak atau Allah SWT pada hari akhirat nanti, adakah aku masih bangga menulisnya?”

Kerana akhirnya, yang akan menyelamatkan manusia bukanlah berapa banyak hujah yang dimenangi, tetapi sejauh mana akhlak dipelihara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN