PETALING JAYA – Meskipun video muzik (MV) Kesuma dikecam, penyanyi Aisha Retno selaku individu yang bertanggungjawab mencipta dan menulis lirik runut bunyi berkenaan tampil mempertahankan dan berpuas hati dengan naskhah nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Jelas Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, setiap perincian dalam MV tersebut kelihatan sangat serasi dengan bait-bait lirik yang ditulisnya.
“Selaku komposer dan penulis lirik untuk lagu Kesuma dendangan Biduanita Negara kita, Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya secara jujur sangat sukakan MV ini.
“Saya faham alur jalan ceritanya yang sangat bersesuaian dengan lirik yang saya nukilkan.
“Ditambah pula dengan penataan warna (colour grading) serta pemilihan lokasi, saya berasa amat gembira dan berbesar hati sebagai penulis lagu ini.
“Pada akhirnya, segala-galanya berbalik kepada cita rasa masing-masing dan cita rasa saya memang sangat serasi dengan jalan cerita MV ini,” katanya dalam Threads.
Menolak dakwaan kononnya sengaja mengeluarkan kenyataan sekadar untuk menyedapkan hati, pelantun lagu Sutera itu enggan membiarkan persepsi negatif luar mengubah pendiriannya yang sudah jatuh cinta dengan hasil akhir visual berkenaan.
“Saya memang jarang cakap berlapik sebab itu bukan kepakaran saya. Tak tahu lagi macam mana nak cakap dekat orang ramai yang saya betul-betul sukakannya.
“Inilah citarasa saya dan saya memang betul-betul sukakannya. Daripada baju, penampilan Istimewa daripada Qasrina Karim sehinggalah tarian yang ringkas tapi mudah diingati.
“Jadi selaku penulis lagu, saya puas hati. Tahniah Tokti (nama panggilan Siti) dan terima kasih kerana sudi menghasilkan MV untuk lagu ini,” jelasnya lagi.
Tambahnya, kualiti produksi komersial berskala besar seperti MV Kesuma sukar ditandingi sehinggakan projek video muziknya sendiri sebelum ini belum tentu dapat meraih gred visual sebagus itu.
“Apa-apa pun pendapat orang lain tetap pendapat tetapi tidak boleh mengubah hakikat yang saya memang sukakanya MV ini.
“Saya buat MV lagu saya sendiri pun adakalanya tak dapat ‘color grading’ yang mantap macam ini. Jadi, harap faham ya sayang,” ujarnya.
MV lagu Kesuma baru sahaja dilancarkan dalam YouTube dan meraih 77,000 jumlah tontonan (setakat artikel ini ditulis).
Bagaimanapun, ramai yang tidak berpuas hati dengan MV tersebut sehingga ada yang menyamakannya dengan konsep MV lagu Umairah. – KOSMO! ONLINE














