PETALING JAYA – Generali Malaysia dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan pelan insurans kemalangan diri mampu milik, Gen Sinar bagi membantu keluarga kurang berkemampuan mendapatkan perlindungan kewangan dan menjamin kesinambungan pendidikan anak-anak.
Pelancaran inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Generali Malaysia dalam memperluaskan akses kepada perlindungan kewangan yang lebih inklusif, khususnya kepada golongan yang sering berdepan cabaran mendapatkan perlindungan insurans yang mencukupi pada kos berpatutan.
Gen Sinar dibangunkan berdasarkan pemahaman terhadap cabaran yang dihadapi komuniti kurang berkemampuan, terutama keluarga dengan penyara tunggal yang bukan sahaja perlu memenuhi keperluan harian, malah memikirkan kestabilan kewangan jangka panjang dan masa depan pendidikan anak-anak.
Menurut Generali Malaysia, masih terdapat jurang perlindungan yang ketara dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal terhadap penyara keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad, Fabrice Benard berkata, Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah merupakan satu inisiatif perlindungan sosial yang dibangunkan berasaskan model bukan untung bagi membantu komuniti yang memerlukan.
“Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berasaskan model bukan untung. Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan ialah kunci dalam memutuskan kitaran kemiskinan.
“Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga yang kurang berkemampuan, kami berhasrat memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar,” katanya.

keluarga kurang berkemampuan.
Gen Sinar diwujudkan selaras dengan inisiatif global Generali, The Human Safety Net (THSN), yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti rentan dan meningkatkan daya tahan sosial melalui perlindungan yang lebih mudah diakses.
Dengan bayaran serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya, pelan tersebut menyediakan bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.
Selain itu, setiap anak yang layak turut menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga berumur 18 tahun, dengan jumlah manfaat keseluruhan mencecah RM100,000.
Bagi melengkapkan perlindungan yang ditawarkan, Gen Sinar turut menyediakan manfaat rundingan teleperubatan percuma melibatkan isu kesihatan fizikal dan mental sekali gus membolehkan peserta serta ahli keluarga mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah menerusi panggilan telefon atau video.
Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar diuruskan oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah.
Kerjasama strategik tersebut bertujuan memastikan dana yang diperuntukkan untuk pendidikan anak-anak dilindungi serta diurus secara telus demi manfaat jangka panjang keluarga penerima.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad, Jack Yap Ngee Heong berkata, kerjasama antara kedua-dua organisasi itu mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan golongan kurang berkemampuan tidak tercicir daripada mendapat perlindungan kewangan dan sokongan pendidikan.
“Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya memikul tanggungjawab yang lebih luas, bukan sahaja dalam melindungi kepentingan benefisiari, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh.
“Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, di samping memastikan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus dengan telus untuk manfaat masa hadapan mereka,” katanya.
Majlis pelancaran Gen Sinar diadakan di Kompleks Komuniti Muhibbah dan dihadiri wakil AmanahRaya, Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), rakan strategik, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti serta ahli masyarakat setempat.- KOSMO! ONLINE














