fbpx
Allahyarham Normah dikenali sebagai seorang wanita yang sederhana, merendah diri dan sentiasa mengutamakan kebajikan orang lain.

Derma organ: Allahyarham Normah juruukur wanita pertama, bekas pensyarah UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemergian Allahyarham Normah Abdullah bukan sahaja mengundang rasa kehilangan dalam kalangan keluarga dan kenalan, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat yang mengenalinya.

Bekas Pensyarah Kanan Bidang Sains Ukur dan Geomatik, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 20 Jun lalu di Hospital Sungai Buloh pada usia 72 tahun.

Allahyarham Normah turut mencipta sejarah sebagai Jurukur Wanita Pertama di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), sekali gus menjadi antara wanita terawal menceburi bidang yang ketika itu didominasi golongan lelaki.

Di media sosial, ramai kenalan berkongsi kisah mengenai keperibadian Allahyarham yang disifatkan sebagai wanita sederhana, merendah diri dan sentiasa mengutamakan kebajikan orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Seorang kenalan, Azis Badli berkata, Allahyarhamah Normah merupakan individu yang sangat istiqamah menyertai solat berjemaah di surau sehingga menjadikan rumah ibadah itu seperti rumah keduanya.

“Beliau memang baik, (solat) lima waktu di surau. Paling awal datang dan paling lewat balik. Antara amalan yang baru diketahui selepas pemergian arwah ialah beliau banyak berinfak kepada masjid, sekolah tahfiz dan rumah anak yatim secara istiqamah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi individu yang menganggap Allahyarham sebagai ibu angkat turut mendedahkan wanita itu pernah menanggung kos pengajiannya di Sudan sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Telah meninggal ibu angkat saya. Mohon doa untuk beliau. Banyak jasa beliau, taja semasa belajar di Sudan dahulu,” katanya.

Ucapan takziah turut dizahirkan oleh warga Fakulti Alam Bina UiTM dan Jupem yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah Normah sebagai kehilangan besar kepada dunia akademik dan profesion ukur.

Jenazah Normah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 selepas solat jenazah di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu, sebelum ini telah berikrar sebagai penderma organ dan hasrat tersebut ditunaikan oleh ahli keluarganya pada keesokan harinya.

Menerusi satu hantaran di media sosial Hospital Sungai Buloh, pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan jasa sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa sepanjang hayatnya, malah terus menyumbang kepada insan lain melalui pendermaan organ dan tisu.

“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.

“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” tulis hantaran itu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN