PETALING JAYA – Gerakan koperasi terus membuktikan peranannya sebagai antara pemacu utama ekonomi rakyat apabila menghimpunkan lebih 7.3 juta anggota dan menjana perolehan RM81.62 bilion sehingga 2025.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, malah instrumen penting yang membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh ekonomi komuniti.
Ujar beliau, ANGKASA yang diiktiraf kerajaan sebagai badan puncak gerakan koperasi sejak 1996 berperanan menyatukan, mewakili dan memperjuangkan kepentingan koperasi di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Ketika ini, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan aset keseluruhan mencecah RM186.75 bilion serta syer dan yuran berjumlah RM18.64 bilion.
“Apabila koperasi diperkukuh, manfaatnya bukan hanya kepada anggota, tetapi turut dirasai masyarakat setempat kerana keuntungan yang dijana dikembalikan kepada komuniti,” katanya.
Jelasnya, gerakan koperasi kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan teknologi yang pantas, peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Selain itu, perubahan corak pengguna dan persaingan pasaran yang semakin sengit turut menuntut koperasi menjadi lebih inovatif serta berdaya saing.
“Justeru, ANGKASA merangka pelbagai inisiatif menerusi Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50) bagi memastikan koperasi kekal relevan dan mampu bersaing dalam ekonomi moden,” katanya.

Katanya, fokus utama pelan tersebut meliputi agenda pendigitalan, pembangunan modal insan, pengukuhan tadbir urus serta penglibatan koperasi dalam sektor strategik seperti keterjaminan makanan, teknologi digital, logistik, kesihatan dan tenaga hijau.
“Dalam usaha membantu rakyat menangani kos sara hidup, ANGKASA terus memperkasa aktiviti perniagaan koperasi menerusi lapan sektor strategik yang merangkumi kewangan, pertanian dan industri asas tani, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan, hartanah dan industri binaan, inovasi dan teknologi serta pembangunan komuniti.
“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Projek BA100, Jualan Rahmah Madani, pembangunan produk jenama sendiri FUNWAY dan COOP, perkhidmatan pengurusan harta dan perancangan pewarisan, farmasi serta pusat dialisis yang memberi manfaat langsung kepada anggota dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, Program BA100 yang diperkenalkan sejak 2019 bertujuan membekalkan barangan keperluan asas kepada kedai koperasi di seluruh negara pada harga lebih kompetitif.
“Program itu menggunakan platform JiMATBiz yang menghubungkan peruncit dengan pembekal secara terus serta JiMATShop yang menghubungkan pengguna dengan peruncit.
“Pendekatan itu membantu mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap selain menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna,” katanya.
Ujarnya, BA100 disasarkan melibatkan 3,000 koperasi dengan potensi sasaran nilai jualan sebanyak RM375 juta menjelang 2030.
“Sehingga kini, 3,617 kedai koperasi dan persendirian telah berdaftar di bawah program itu dengan sekurang-kurangnya satu outlet diwujudkan di semua 222 kawasan Parlimen.
“Bagi memperkukuh lagi sektor peruncitan koperasi, ANGKASA turut memperkenalkan 30 produk jenama sendiri di bawah label FUNWAY selain produk homebrand jenama COOP.
“Produk berkenaan merangkumi pelbagai kategori termasuk makanan, minuman, snek, biskut, pes masakan dan makanan dalam tin yang ditawarkan pada harga kompetitif. Kebanyakan produk tersebut telah memperoleh pensijilan HALAL, GMP, ISO 22000, HACCP dan MESTI bagi menjamin kualiti serta keselamatan pengguna,” katanya.
Pada masa sama, ANGKASA turut menubuhkan ANGKASAMart pada 2021 sebagai platform memasarkan produk koperasi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sehingga kini, enam outlet ANGKASAMart beroperasi di Kelana Jaya, Pendang, Tasek Gelugor, Kuching, Kota Kinabalu dan Kangar. Dalam aspek pembangunan komuniti, koperasi kariah masjid, koperasi belia dan koperasi sekolah terus menjadi antara model yang berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya.
Sehingga tahun 2025, katanya, sebanyak 622 koperasi kariah masjid didaftarkan di seluruh negara melibatkan aktiviti peruncitan, kebajikan, pendidikan, katering dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti.
“Malaysia juga diiktiraf sebagai model terbaik dunia dalam pembangunan koperasi sekolah dengan 50 koperasi sekolah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta setahun.
“Malah, dua koperasi sekolah merekodkan perolehan melebihi RM2 juta, manakala sebuah lagi melepasi RM3 juta setahun iaitu Koperasi SMK Kota Kemuning Shah Alam Berhad,” katanya.
Sempena sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan sepanjang Julai ini, Hari Koperasi Antarabangsa yang disambut pada Sabtu pertama bulan Julai serta Hari Koperasi Negara yang berlangsung dari 3 hingga 5 Julai 2026, ANGKASA mahu penganjuran pelbagai program dan aktiviti tidak hanya dilihat sebagai sambutan tahunan semata-mata.
Mengulas masa depan gerakan koperasi, Abdul Fattah berkata, ANGKASA turut mengemukakan cadangan peruntukan khas RM500 juta menerusi Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 bagi mempercepatkan transformasi sektor tersebut.
“Kita mahu melihat koperasi muncul sebagai kuasa ekonomi rakyat yang berdaya tahan, progresif dan mampu mencipta kemakmuran yang dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat,” katanya. -KOSMO! ONLINE














