Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ruang kediaman, pejabat dan restoran turut diberi sentuhan istimewa bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah bagi menyambut kedatangan tetamu.
Dekorasi Syawal tidak semestinya berlebihan, sebaliknya cukup dengan susunan yang kemas dan pemilihan elemen bersesuaian dengan konsep kediaman atau premis.
Penggunaan warna-warna lembut seperti hijau pucuk pisang, emas, krim dan putih sering menjadi pilihan dalam dekorasi Aidilfitri kerana mampu mewujudkan suasana tenang serta elegan.
Pengurus servis sewa dekorasi di Pelamina Rentals, Atikah Adnan memaklumkan, tema kampung dan tradisional menjadi pilihan utama dalam kalangan penduduk di negara ini.
“Barangan berasaskan rotan dan mengkuang adalah elemen wajib pada booth atau kediaman yang ingin menonjolkan suasana raya.
“Suasana kampung lengkap dengan ayam, sangkar dan binatang peliharaan antara elemen yang digemari pelanggan.
“Mungkin lokasi mereka mengadakan rumah terbuka atau berhari raya adalah di bandar, maka warga kota sukakan tema kampung yang tenang, tetapi tetap meriah untuk meraikan hari raya,” jelas Atikah.

Dekorasi bukan saja perlu cantik, malah memainkan peranan penting dalam menarik pengunjung.
Jelas Atikah, ramai vendor dan restoran kini mengambil servis dekorasi raya untuk menghias premis mereka bagi menarik kedatangan pengunjung.
Dengan sentuhan kreatif dan elemen kampung yang klasik, dekorasi raya kini bukan sahaja dapat menghias ruang, malah menjadi tarikan utama pengunjung.
Tema sama turut menjadi pilihan hiasan Aidilfitri syarikat-syarikat korporat, khususnya di Terengganu.
Pemilik syarikat pengurusan acara Anas Event, Anas Nasrullah Husin berkata, tema kampung sering menjadi pilihan berbanding konsep moden.

“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang mengurus acara di Terengganu, konsep yang menjadi pilihan pelanggan untuk rumah adalah bertemakan Melayu klasik,” katanya.
Jelas Anas Nasrullah, apabila menyiapkan dekorasi Aidilfitri, item yang wajib ada termasuklah hiasan ketupat, lemang serta pinggan mangkuk yang sering digunakan untuk menghidangkan juadah di pagi raya.
“Semua barangan ini dapat membantu dalam menaikkan mood beraya,” katanya.
Di samping itu, elemen tradisional seperti anyaman ketupat, tikar mengkuang dan dulang tembaga turut dijadikan hiasan bagi menonjolkan identiti Melayu sempena Syawal.
Hiasan tersebut bukan sahaja menambah nilai estetika, malah mengimbau kenangan suasana beraya di kampung yang penuh dengan elemen tradisi.
Secara keseluruhannya, dekorasi Aidilfitri yang sederhana tetapi kemas sudah memadai untuk mencipta suasana ceria dan menyenangkan ketika menerima kunjungan tetamu sepanjang Syawal nanti.














