PETALING JAYA – Platform teknologi kewangan (fintech) Islam global, Wahed melancarkan platform pelaburan hartanah pecahan (fractional real estate) pertama di Malaysia.
Ia bertujuan untuk membuka peluang pelaburan kepada pelabur runcit memiliki pegangan dalam hartanah premium dengan modal permulaan serendah RM500.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, platform yang dibangunkan di bawah Regulatory Sandbox Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu akan membolehkan pelabur memperoleh pulangan menerusi pendapatan sewaan secara suku tahunan dan potensi pertumbuhan modal daripada kenaikan nilai hartanah.
Inisiatif tersebut adalah untuk memperluaskan akses pemilikan aset dalam kalangan rakyat tanpa memerlukan pinjaman bank atau bayaran pendahuluan yang tinggi, di samping mengekalkan prinsip pelaburan patuh syariah.
“Platform ini dibangunkan bagi membolehkan lebih ramai individu menyertai pasaran hartanah melalui pemilikan pecahan aset yang lebih mudah diakses, telus dan bebas daripada unsur riba,” katanya.
Tambah Wahed, platform berkenaan turut disokong pelabur antarabangsa termasuk Wa’ed Ventures, cabang modal teroka milik Saudi Aramco, serta Qatar Development Bank.
Di Malaysia, Wahed beroperasi menerusi Wahed Technologies Sdn Bhd yang dilesenkan oleh SC sebagai Digital Investment Manager (DIM).
Produk terbaharunya adalah Wahed Real Estate yang mana ia akan membolehkan pelabur memiliki sebahagian daripada hartanah melalui konsep pemilikan pecahan tanpa perlu menguruskan penyewaan atau penyelenggaraan aset.
Syarikat itu berkata sambutan terhadap platform berkenaan menggalakkan apabila projek Sky Suites @ KLCC habis dilanggan dalam fasa akses awal sebelum dibuka kepada orang ramai, manakala projek jemputan khas pertama di Mosaic Southkey, Johor Bahru berjaya mengumpulkan kira-kira RM1 juta dalam tempoh enam hari.
Menurut Wahed, model pelaburan itu membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada pasaran hartanah premium dengan modal yang lebih rendah, selain berpotensi menjana pulangan daripada hasil sewaan dan kenaikan nilai aset.
Bagaimanapun, syarikat itu mengingatkan bahawa pulangan pelaburan masih bergantung kepada prestasi pasaran hartanah, termasuk kadar penghunian, kos penyelenggaraan serta harga pelupusan aset pada masa hadapan. -KOSMO! ONLINE














