fbpx
PERLUMBAAN pembukaan musim di GP Australia memperlihatkan pertarungan sengit antara Mercedes dan Ferrari. - AFP

F1: Mercedes belum rasa selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELBOURNE – Meskipun berjaya melakar kemenangan satu-dua pada perlumbaan pembuka tirai di Australia, pasukan Mercedes tetap waspada dengan ancaman Ferrari terutama dalam misi memburu kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini.

Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff menegaskan bahawa kejayaan George Russell dan Kimi Antonelli di Grand Prix Australia membuktikan ‘Silver Arrows’ sudah kembali ke prestasi terbaik, namun kebangkitan Ferrari tidak boleh dipandang remeh.

Biarpun Mercedes mempamerkan penguasaan bermula di sesi kelayakan, Wolff mengakui persaingan di Litar Albert Park memperlihatkan betapa dekatnya jurang prestasi antara jentera mereka dengan pasukan berpangkalan di Maranello itu.

“Kepuasan yang saya rasakan ketika ini sangat luar biasa kerana kami berjaya bangkit selepas melalui tahun-tahun yang sukar. Namun secara realistik, kami kini sedar bahawa kami sedang berdepan pertarungan sengit dengan Ferrari.

“Kami tahu mereka sangat kuat ketika memulakan perlumbaan dan itu yang berlaku apabila Charles (Leclerc) memberikan tentangan habis-habisan kepada George di peringkat awal perlumbaan,” katanya.

Ferrari yang menduduki tempat ketiga dan keempat menerusi Leclerc dan Lewis Hamilton hampir menggugat Mercedes di awal saingan, namun strategi tayar alternatif yang dipilih pasukan Itali itu akhirnya memakan diri.

Mengulas lanjut mengenai persaingan musim ini, Wolff menyifatkan kemenangan di Melbourne sebagai suntikan moral terbaik buat seluruh warga kerja di Brackley sebelum aksi seterusnya beralih ke Grand Prix China di Shanghai nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI